KUALA LUMPUR 24 Sept. – Setelah dinanti-nantikan beberapa bulan, SUV pertama Proton iaitu Proton X70, akhirnya membuat penampilan awam dalam program pratonton pelanggan secara eksklusif di Petaling Jaya, dari 19 hingga 23 September lalu.
Para pelanggan, barisan pengurusan daripada syarikat terkemuka serta pembeli korporat yang berpotensi telah dijemput untuk melihat reka bentuk dalaman dan luaran SUV tersebut, yang merupakan produk Proton pertama untuk memasuki segmen pasaran yang sedang berkembang pesat.
Produk seperti SUV tersebut diperkenalkan di sebuah majlis yang mewah, yang mana Proton telah membuat keputusan untuk mempamerkannya dalam suasana serba moden dan mewah.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Abdul Rashid Musa berkata, sejak tempahan dibuka pada 8 September lalu, pihaknya telah menerima sambutan yang memberangsangkan daripada para pelanggan.
“Proton X70 meletakkan tahap yang baharu untuk Proton dengan reka bentuknya yang moden dan terkini, justeru kami menganjurkan beberapa siri pratonton sebagai peluang kepada pelanggan melihat dengan lebih dekat bagi memahami tahap kejuruteraan dan merasai sendiri bahan-bahan premium yang kami gunakan dalam SUV ini,’’ ujarnya.










