NEW YORK 11 Sept. – Juara 18 kali Grand Slam, Martina Navratilova mengecam tindakan kurang sopan Serena Williams terhadap pengadil perlawanan akhir Terbuka Amerika Syarikat (AS) walaupun mengakui keputusan yang dibuat agak berat sebelah terhadap pemain wanita.
Menulis dalam sebuah akhbar di sini, bekas legenda tenis kelahiran Republik Czech itu, yang kini menjadi warganegara AS, berkata sesuatu perlu dilakukan termasuk mengkaji semula peraturan yang lebih adil bagi memastikan pemain tidak boleh sewenang-wenangnya memanggil pengadil ‘pencuri’ manakala pengadil pula tidak sewenang-wenangnya boleh mengenakan penalti game dalam keadaan perlawanan sedang menuju kemuncak.
“Kita tidak boleh menilai diri kita seperti mana yang kita fikirkan demi mahu melepaskan diri semata-mata. Walhal sikap yang ditunjukkan itu tidak wajar sesiapa pun melakukannya ketika dalam gelanggang,” tulisnya.
Navratilova, 61, merujuk kepada kenyataan yang dibuat Serena bahawa dia dihukum kerana berkata sesuatu yang pemain lelaki juga biasa lakukan tetapi tidak pula dikenakan penalti seperti itu.
“Serena Williams juga mempunyai hak dalam hal ini. Memang ada keputusan berat sebelah bagi pemain wanita dalam menghukum kelakuan buruk mereka dan bukan hanya berlaku dalam sukan tenis sahaja.
“Tetapi dalam membuat protesnya, Serena juga ada salahnya. Saya tidak percaya perbuatannya satu idea yang baik untuk mengaitkannya dengan peraturan yang adil sahaja. Jika pemain lelaki boleh terlepas, pemain wanita juga sepatutnya begitu.
“Oleh itu adalah lebih tepat kita menyoal diri kita sendiri: Apakah cara yang betul dalam berkelakuan untuk kita menghargai sukan ini dan menghormati lawan kita?,” tegas Navratilova.
Serena tumpas 2-6, 4-6 kepada pemain Jepun, Naomi Osaka dalam perlawanan akhir itu tetapi sikap buruknya bertengkar dengan pengadil di pertengahan permainan lebih diperkatakan orang.
Pertengkaran bermula selepas Serena, 36, diberi amaran pertama kerana cuba mendapatkan nasihat daripada jurulatihnya yang berada di tempat duduk penonton. Dia dikenakan penalti selepas membantah amaran tersebut.
Tidak terhenti di situ, Serena kemudian menghempaskan raketnya sebagai tanda protes dan terus diberi amaran kali kedua, dengan pengadil Carlos Ramos mengenakan penalti game pula.
“Ramos tiada pilihan selain menggunakan kuasanya dengan memberi penalti game menyebabkan Serena mula hilang sabar. Mereka mula bercakap antara satu sama lain dengan Serena menegaskan dia bukan penipu tetapi kemudian melabel Ramos sebagai pencuri dan diberi amaran ketiga serta penalti satu game.
“Sukar untuk mengetahui atau mungkin boleh dibahaskan, apakah Serena boleh terlepas hukuman itu jika dia adalah pemain lelaki yang melabelkan Ramos sebagai pencuri. Ini yang perlu dikaji semula dan diperbaiki,” tulisnya lagi. – AFP










