IPOH – Angka kematian akibat keracunan alkohol terus meningkat kepada 32 orang selepas seorang lagi lelaki yang sebelum ini dilaporkan kritikal di Hospital Raja Perempuan Bainun (HRPB) di sini maut kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia, Hal Ehwal Pengguna dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan berkata, lelaki tersebut merupakan salah seorang daripada dua mangsa kritikal yang sebelum ini dimasukkan di HRPB.
Katanya, kematian terbaharu itu menjadikan jumlah mangsa meninggal dunia akibat keracunan metanol meningkat kepada tiga orang di Perak dan 32 orang di seluruh negara.
“Salah seorang lelaki yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HRPB sebelum ini disahkan meninggal dunia semalam (kelmarin) dan manakala seorang lagi masih dirawat di ICU.
“Seorang lagi mangsa berusia 35 tahun yang dilaporkan stabil dan dirawat di hospital sama telah dibenarkan keluar wad,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.










