KUALA LUMPUR 24 Sept. – Malaysia perlu mengelak daripada mengutip kad merah ‘hatrik’ dalam perlawanan wajib menang ke atas Jepun pada aksi terakhir Kumpulan A, Kejohanan Bawah 16 tahun (B-16) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Rabu ini
Kekalahan 2-4 kepada Thailand dalam perlawanan kedua semalam meletakkan peluang pasukan negara untuk ke suku akhir semakin getir, namun yang lebih membimbangkan ketika ini adalah layangan kad merah menghantui anak-anak buah Lim Teong Kim dalam dua saingan pertama setakat ini.
Dalam aksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam, Malaysia bangkit daripada ketinggalan dua kali sebelum mengikat Thailand 2-2, namun kad merah yang dilayangkan kepada penyerang utamanya, Luqman Hakim Shamsudin pada minit ke-60 merubah permaina.
Pada perlawanan pembukaan yang menyaksikan Malaysia mengalahkan Tajikistan 6-2, Khamis lalu, penjaga gol pasukan negara, Sikh Izhan Nazrel dibuang padang pada lewat permainan.
Pasukan negara kini tiada pilihan, kecuali menumpaskan Jepun untuk muncul dua pasukan teratas Kumpulan A, sekali gus melayakkan diri ke suku akhir.
“Beraksi dengan kurang seorang pemain tidak mudah. Apa pun semuanya belum berakhir, ia belum berakhir.
“Pemain-pemain kami menunjukkan keazaman yang kuat ketika mengejar Thailand untuk mengikat kedudukan 2-2. Mereka adalah pejuang, dan saya percaya mereka akan melakukan perkara yang sama apabila menentang Jepun.
“Kami memiliki ramai pemain yang mampu memainkan peranan menyerang, kami ada kumpulan pemain yang mencukupi. Sekarang adalah peluang untuk mereka beraksi,” kata Teong Kim.
Teong Kim pada sidang media selepas perlawanan semalam mengakui kad merah diterima Luqman pada minit ke-50 menjejaskan persembahan pasukannya sebelum tewas 2-4 kepada Thailand.
Malaysia kini berada di kedudukan ketiga kumpulan dengan mengumpul tiga mata dan membawa misi wajib menang ke atas Jepun untuk layak ke suku akhir. – UTUSAN ONLINE










