Semalam Di Malaya semarak jiwa Malaysia - Utusan Malaysia

Semalam Di Malaya semarak jiwa Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Konsert Semalam Di Malaya yang bakal dipersembah di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur pada 15 dan 16 September ini selari dengan jiwa merdeka yang sedang membara dalam diri setiap rakyat Malaysia.

Menggabungkan gemersik suara empat penyanyi hebat, Liza Hanim, Aishah, Rachel Guerzo Trio dan Musly Ramlee, konsert ini akan dipimpin oleh konduktor dan pengarah muzik, Ahmad Muriz Che Rose.

Berbicara soal pemilihan penyanyi, Ahmad Muriz berkata, keempat-empat penyanyi dipilih berdasarkan pengalaman dan pencapaian setiap mereka yang sudah lama berkecimpung dalam dunia seni.

Konsert yang bakal membawa penonton melayari bahtera semangat jiwa merdeka ini bakal menyajikan lagu-lagu klasik malar segar yang menjadi siulan ramai.

“Secara keseluruhannya, sebanyak 14 lagu akan dipersembah termasuk medley serta duet dengan setiap satu lagu akan diberi gubahan yang lebih segar.

“Tapi kita cuba untuk tidak mengubah melodi asal demi memastikan keindahannya tidak luntur. Cuma kita akan tambah beberapa elemen yang lebih menarik supaya dapat memberi lebih jiwa kepada penonton,” kata Ahmad Muriz.

Bagi Rachel pula, peluang membuat persembahan dalam skala besar seperti Semalam Di Malaya tidak seharusnya dipersia-sia sementelah dia sedar, bukan mudah bagi seorang penyanyi mendapat ruang untuk menyanyi diiringi orkestra di Malaysia.

“Satu kebanggaan dan penghormatan bagi saya untuk beraksi di pentas DFP dengan nama-nama besar seperti Liza, Aishah dan Musly. Ini satu peluang keemasan,” katanya yang terkenal dalam dunia muzik jazz.

Penantian Liza Hanim terbalas

BENARLAH kata pujangga, jangan pernah berhenti bermimpi. Penyanyi bersuara emas, Liza Hanim pastinya memahat kenangan tersendiri apabila bakal beraksi di dewan berprestij DFP.

Siapa sangka, kata-kata santai yang dilontarkan, tatkala berbual dengan Aishah sewaktu mengadakan konsert di Singapura tempoh hari menjadi kenyataan.

Apatah lagi, Semalam Di Malaya bakal menguji kemampuan dan bakatnya mendendangkan lagu-lagu klasik yang menjadi pujaan dan siulan ramai sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

“Sebenarnya saya memang sudah lama mengimpikan peluang untuk menyanyi di pentas berprestij ini. Siapa tak mahu, kan? Jadi apabila diberi peluang, saya tak akan lepaskan sama sekali.

“Selama 21 tahun menanti, sememangnya saya sangat teruja untuk mengadakan persembahan. Apatah lagi, barisan lagu-lagu klasik yang bakal dinyanyikan benar-benar dekat di hati saya.

“Sebuah konsert yang menjanjikan kelainan. Persembahan ini memberi peluang kepada anak muda khususnya kembali mendengar lagu-lagu khazanah milik kita. Setiap lagu mempunyai sejarah yang dekat dengan kita semua,” katanya.

Berbicara soal persediaan, pastinya konsert berskala besar itu sedikit sebanyak memberi tekanan kepada penyanyi lagu Gelisah Mimpi terutama susunan muzik yang lebih gah bawah pimpinan Ahmad Muriz.

“Memang ada lagu-lagu yang bakal saya nyanyikan pernah dipersembah sebelum ini. Tetapi untuk Semalam Di Malaya, susunan muziknya berbeza. Jadi saya lupakan persembahan sebelum ini dan fokus untuk konsert akan datang.

“Menyanyi dengan orkestra memang menuntut lebih fokus sebab semua tahu, bukan senang untuk menyanyi dengan orkestra. Malah tentu sekali beraksi di pentas DFB, pastinya kita mahu beri persembahan berbeza.

“Ini satu peluang yang memberi lebih warna kepada portfolio saya yang telah lebih dua dekad bergelar penyanyi,” katanya yang bakal mempersembah lebih lima lagu antaranya Semalam Di Malaya dan Jelingan Manja.

Aishah janji yang terbaik

BAKAL menyanyikan lebih tiga lagu antaranya Jauh-Jauh, Ibu dan Setangkai Kembang Melati, penyanyi Aishah mengakui, tidak sabar untuk beraksi pada konsert yang cukup bermakna itu.

Walaupun sedar tidak mudah untuk menyanyi bersama-sama orkestra namun Aishah tidak meletakkan cabaran itu sebagai sesuatu yang merisaukan.

Apatah lagi, bergabung suara dengan nama-nama besar seperti Liza, Musly dan Rachel tentu sekali membuka ruang mewarnai kanvas seninya dengan satu persembahan terbaik.

“Satu penghormatan dan sebenarnya saya lihat sebagai cabaran. Berkongsi pentas dengan rakan-rakan artis yang kita semua sedia maklum hebat-hebat belaka tentu sekali membuatkan saya teruja.

“Menyanyi orkestra ini lain tekniknya. Berbeza dengan menyanyi untuk rakaman, dengan band dan minus one. Saya lebih senang menghafal susunan muzik untuk lebih mudah.

“Kalau cakap gementar itu, walaupun sudah berpuluh-puluh tahun saya menyanyi pastinya masih ada rasa gugup. Kadang-kadang, lima minit sebelum naik pentas pun lutut saya masih terketar-ketar,” selorohnya.

Berpeluang kembali menyanyi di DFP selepas kali terakhir pada lapan tahun lepas, Aishah menganggap Semalam Di Malaya sebagai satu platfrom menterjemahkan rasa kasih dan sayang terhadap khazanah muzik negara.

Apatah lagi pada saat era modenisasi sedikit sebanyak mengikis rasa cintakan negara daripada anak muda, penyanyi Janji Manismu ini mahu semua generasi tak kira muda atau tua hadir menyaksikan konsert bersejarah ini.

“Ini satu pendedahan yang baik terutama kepada anak muda yang mungkin jarang atau tidak pernah mendengar lagu-lagu klasik. Kita mempunyai banyak lagu yang ditulis oleh komposer hebat.

“Khazanah muzik negara ini perlu dimartabatkan dan menjadi kebanggaan semua kerana menerusi melodi dan lirik ini kita semaikan nilai jati diri serta semangat budaya dalam diri kita,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN