KUALA LUMPUR 7 Sept. – Cubaan dua sindiket menyeludup rokok dan minuman keras bernilai RM10 juta ke negara ini gagal selepas dua lelaki ditahan di Pelabuhan Klang dekat sini pada Ahad lalu.
Dalam tangkapan berasingan kira-kira pukul 7.50 malam itu, kedua-dua lelaki warga tempatan ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ketika memandu dua lori kontena mengandungi 10.5 juta batang rokok serta 2,600 liter minuman keras yang diseludup dari negara jiran.
Serbuan terbabit dilakukan susulan hasil risikan dan maklumat daripada orang ramai kepada pasukan Penguatkuasaan Kastam Zon Tengah dari Unit 1 Kuala Lumpur.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan), Datuk Seri Zulkifli Yahya berkata, dalam tangkapan pertama, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 36 tahun ketika memandu sebuah lori kontena di Lebuh Raya Pulau Indah, Pelabuhan Klang.
Menurut beliau, pemeriksaan pada lori kontena itu menemukan 10.5 juta batang rokok putih jenama U2 Full Flavour dengan nilai serta cukai dianggarkan RM8 juta.
“Tidak jauh dari lokasi pertama, satu lagi pasukan penguat kuasa kastam menahan sebuah lagi lori kontena dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun.
“Hasil pemeriksaan mendapati suspek membawa muatan 1.8 juta batang rokok jenama Dinx dan 2,600 liter minuman keras dengan nilai dan cukai dianggarkan RM2 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kastam Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zulkifli memberitahu, hasil siasatan mendapati kedua-dua kontena terbabit dibawa masuk melalui Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang dari Singapura menggunakan manifes yang diikrarkan sebagai used auto parts (alat kenderaan terpakai).
“Kita masih menjalankan siasatan bagi mengesan dalang utama kedua-dua penyeludupan itu namun percaya rokok buatan Vietnam serta arak buatan India tersebut adalah untuk pasaran sekitar Lembah Klang.
“Kedua-dua pemandu lori kontena itu direman lima hari mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut barangan larangan kastam. Meraka dijangka akan dituduh di mahkamah minggu hadapan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Zulkifli memohon kerjasama orang awam menyalurkan sebarang maklumat berhubung kegiatan penyeludupan dengan menghubungi JKDM di talian 03-78036568 atau talian bebas tol kastam 1-800-88-8855.
“Kita memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat akan dirahsiakan dan mereka yang berdaftar diberi ganjaran dalam bentuk wang tunai bagi setiap maklumat yang berjaya menghasilkan kes,” katanya.










