IPOH – Selangor menamatkan penantian 24 tahun untuk merangkul pingat emas acara hoki wanita Sukan Malaysia (Sukma) selepas mengalahkan Sabah 1-0 pada aksi final di Stadium Azlan Shah semalam.
Kejayaan itu menyaksikan skuad Gergasi Merah mengulangi pencapaian terbaik skuad 1994 yang dinobatkan sebagai juara hoki wanita Sukma di venue yang sama.
Biarpun menghadapi rintangan seperti beraksi dalam hujan lebat, Selangor tetap berjaya mempamerkan persembahan cemerlang apabila Siti Nur Aliah Amnuruddin muncul wira dengan meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-23.
Menurut jurulatih Selangor, Ikmal Abdul Jabar, beliau berbangga dengan persembahan anak-anak buahnya biarpun mengakui berdepan kekangan seperti kekurangan pemain-pemain berbakat ketika membentuk skuad ampuh bagi mengharungi kempen Sukma kali ini.
Sebagai rekod, pingat gangsa dimenangi Wilayah Persekutuan yang menewaskan Terengganu 3-2.
“Alhamdulillah, kemenangan yang amat bermakna untuk kami kerana sudah 24 tahun tidak memenangi emas dalam acara hoki wanita Sukma dan kami telah berjaya mengulangi kejayaan 1994.
“Saya terpaksa berdepan cabaran hebat sebelum menghadapi Sukma 2018 apabila kekurangan pemain berbakat dan saya berharap kejayaan ini dapat menjadi pembakar semangat kepada Selangor untuk membentuk pasukan lebih bagus.
“Pembangunan hoki wanita perlu dipertingkatkan dan begitu juga kejurulatihan kerana kita ada pemain tetapi mereka tidak mencapai tahap diinginkan,” kata kepada Kosmo! semalam.
Dalam perkembangan sama, Ikmal, 35, turut memberitahu, pasukannya berjaya memperbaiki pencapaian pada Sukma 2016 apabila memenangi perak setelah tumpas 0-1 kepada Melaka di pentas final.
Sementara itu, jurulatih Sabah, Mohd. Sharun Nabil Abdullah berkata, walaupun pasukannya tewas, namun anak-anak buahnya tetap bersorak gembira selepas melakukan pencapaian yang membanggakan.
“Ini merupakan kali pertama kami ke final dalam sejarah kerana sebelum ini Sabah tidak pernah layak ke peringkat separuh akhir, apatah lagi final.
“Pasukan ini juga dibentuk dalam tempoh dua bulan dengan dibarisi pemain berusia 16 dan 17 tahun. Saya fikir mereka memang layak untuk meraikan pencapaian ini,” katanya.











