PADA hujung tahun 80-an, rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3 yang dihoskan oleh Hasbullah Awang (kini Allahyarham) pernah membincangkan isu rokok. Apa yang penulis masih ingat, salah seorang pemanggil dalam rancangan itu, memberi cadangan agar rokok diharamkan sahaja penjualannya untuk mengelak tabiat merokok dalam kalangan masyarakat kita terutamanya golongan remaja.
Cadangan berkenaan jika dilaksanakan tentu tidak akan timbul lagi isu rokok seperti sekarang. Tentu tidak perlu berkempen sana-sini yang terpaksa menelan belanja yang banyak kerana sudah tidak ada rokok.
Bagaimanapun, selepas cadangan itu diutarakan, ia hanya tinggal cadangan, sampai sekarang rokok tetap menjadi isu dan mengalami pelbagai proses dalam usaha mengekang tabiat masyarakat kita yang tidak boleh menghilangkan tabiat merokok termasuklah masalah pertambahan perokok baharu
Masalahnya rokok masih dijual walaupun sesetengah negeri mengeluarkan fatwa rokok haram atas beberapa sebab termasuklah memudaratkan kesihatan diri dan orang di sekeliling, membazir wang, rokok terbukti mengandungi bahan racun dan merokok menghalalkan sesuatu yang tidak baik.
Di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2017, denda RM10,000 atau penjara dua tahun akan dikenakan ke atas sesiapa sahaja yang menghisap rokok di 21 kawasan larangan termasuklah di premis kerajaan, tempat awam, di dalam bas, di dalam lif, kedai makan berhawa dingin dan sebagainya yang difikirkan perlu larangan itu dikenakan.
Mulai Disember ini, restoran terbuka dan bangunan Parlimen diisytiharkan sebagai kawasan larangan merokok. Ramai peniaga menganggap perniagaan mereka akan terjejas. Anak-anak muda yang melepak di kedai-kedai mamak yang tengok bola sampai ke pagi ramai yang bertemankan rokok.
Maknanya, jika hendak merokok, mesti keluar dari restoran beberapa minit, kemudian pergi ke mana-mana untuk melepaskan gian. Maka sudah tentu, di bawah-bawah pokok, di dalam longkang dan di dalam pasu-pasu bunga akan penuh dengan puntung rokok.
Bagaimanapun, jika dilihat kedai-kedai makan di Hentian Rehat dan Rawat di lebuh-lebuh raya yang mengenakan larangan merokok, pelanggannya tetap ramai sampai kadang-kadang tidak cukup tempat duduk. Kebanyakan premis perniagaan di situ juga tidak lagi menjual rokok kepada pelanggan.
Satu demi satu usaha dilakukan untuk membendung tabiat merokok dalam kalangan masyarakat. Pelbagai kempen telah diadakan. Ini termasuklah tidak menjual rokok tujuh dan 14 batang sekotak untuk mengelak remaja membeli rokok.
Penjualan rokok secara batang juga tidak dibenarkan. Bagaimanapun, masih ada tauke-tauke kedai yang menjualnya secara batang kerana lebih menguntungkan. Malangnya, budak-budak bawah umur pun membeli kerana peniaga menjualnya.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan pada tahun lepas, 4.7 juta rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas merokok dan angka ini sangat tinggi. Ini juga memperlihatkan bahawa rokok masih dijual kepada mereka yang di bawah umur.
Usaha untuk mengekang tabiat merokok dan pelapis perokok tidak akan berhasil jika tiada usaha bersepadu pelbagai pihak. Peniaga mesti memainkan peranan dengan tidak menjual rokok di premis mereka. Kalau jual pun, janganlah menjual kepada budak-budak bawah umur.
Kementerian terbabit mesti membuat pemantauan di premis-premis perniagaan terutamanya kedai runcit dan kedai-kedai makan untuk mengesan peniaga yang ingkar peraturan yang ditetapkan.
Tidak ketinggalan juga, budak-budak di bawah umur yang didapati menghisap rokok mestilah dikenakan denda dan sesi kaunseling perlu dikenakan terhadap mereka dan ibu bapa mahupun penjaga jika benar usaha mengekang golongan remaja terdedah kepada gejala merokok hendak dilaksanakan.
Memperluaskan atau menambah ‘wilayah’ larangan merokok juga tidak akan mendatangkan sebarang kesan kerana selagi rokok masih ada, orang akan tetap merokok.
Jika di mana-mana pun tempat awam tidak dibenarkan merokok, waima di dalam rumah atau di dalam kereta sekalipun, orang akan pergi ke hutan atau ke tengah-tengah sungai atau laut pula untuk menghisap rokok.
Semuanya kerana rokok masih ada!










