ALOR SETAR 18 Sept. – Dua lelaki yang merupakan sekretariat jawatankuasa pemilihan PKR di negeri ini dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri sebentar tadi.
Perintah tersebut dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Noor Lyana Ab. Rahim pada kira-kira pukul 11 pagi.
Kedua-dua lelaki berusia yang berusia 48 dan 46 tahun yang direman mulai Ahad lalu itu dibebaskan dengan jaminan RM5,000 seorang dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan.
Akhbar sebelum ini melaporkan kedua-dua mereka dipercayai meminta wang RM20,000 daripada seorang lelaki berusia 58 tahun sebagai dorongan supaya namanya tidak digugurkan daripada senarai calon yang akan bertanding pada pemilihan parti peringkat cabang di Kedah pada Sabtu ini. – UTUSAN ONLINE










