Saya sedia terajui PFA, tapi tiada yang pelawa - Shahidan Kassim - Utusan Malaysia

Saya sedia terajui PFA, tapi tiada yang pelawa – Shahidan Kassim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 16 Sept. – Datuk Seri Shahidan Kassim menyatakan kesediaan beliau untuk kembali menerajui dan membawa kegemilangan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), yang kini dilanda masalah kewangan sehingga mengakibatkan gaji para pemainnya tertunggak beberapa bulan.

SHAHIDAN KASSIM
SHAHIDAN KASSIM 

Beliau yang merupakan individu bertanggungjawab membawa PFA memenangi Piala Malaysia pada 2004 dan 2006 manakala Liga Super pada 2005 itu, turut bersedia untuk memulihkan masalah kewangan dihadapi Pasukan Singa Utara itu.

“Ini merupakan Manifesto Barisan Nasional (BN) negeri dan janji saya jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu untuk kembali memulihkan bola sepak Perlis.

“Saya bersedia (terajui PFA) tetapi setakat ini tiada mana-mana pihak yang datang untuk mempelawa. Saya tidak boleh menonjol kerana takut nanti mereka (pengurusan) kata boleh buat lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menyambut ketibaan dua beranak yang menamatkan misi berjalan kaki dari Johor Bahru ke Kangar, Perlis sejauh 1,400 kilometer sempena sambutan Hari Malaysia di Yayasan Pok Kassim di sini, hari ini.

Sebelum ini, akhbar melaporkan seramai 29 pemain PFA telah membuat aduan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berikutan majikan mereka itu gagal melunaskan tunggakan gaji yang berjumlah RM461,500.

Sehubungan itu, PFA dikehendaki melunaskan tunggakan gaji dalam tempoh 30 hari daripada tarikh keputusan dibuat iaitu pada 29 0gos lalu.

Mengenai misi berjalan kaki yang dilakukan dua beranak itu, R. Ragu, 43, dan anaknya, R. Surya, 13, Shahidan melahirkan rasa terkilan kerana tiada mana-mana pihak sudi memberi tajaan kepada mereka.

“Ini sesuatu yang menyedihkan kerana semasa zaman BN memerintah negara, kita menaja banyak misi seumpama ini tanpa mengira fahaman politik,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN