Sanggup berkereta satu Malaysia - Utusan Malaysia

Sanggup berkereta satu Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setelah hampir dua tahun berkhidmat sebagai Duta Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia, Maria Castillo Fernandez mempunyai cara tersendiri untuk mengenali rakyat Malaysia secara lebih dekat iaitu dengan bergaul dan tinggal bersama-sama mereka.

Hampir 80 peratus kawasan di Malaysia telah dijelajahi dengan memandu sendiri keretanya atau menaiki kenderaan awam. Bahkan beliau turut menunggang basikal ke kawasan berhampiran ibu pejabat EU di Kuala Lumpur.

Pengamatannya terhadap rak­­­yat Malaysia membawa kepada pemahaman bahawa ‘Malaysia adalah negara Asia yang berbeza berbanding negara-negara Asia lain kerana ia lebih Asia daripada Asia itu sendiri.’

Ini kerana katanya, hampir semua bangsa Asia berada di Malaysia dengan mengamalkan budaya masing-masing tanpa sekatan tetapi mampu berintegrasi dengan baik dan masing-masing memperoleh manfaat daripada budaya bangsa lain.

Justeru bagi Fernandez, Malaysia dikenali kerana kepelbagaian kaum serta bangsa dan untuk mengenali Malaysia adalah dengan cara mengenali penduduknya.

“Saya telah melawat hampir semua negeri di Malaysia dengan memandu kereta saya termasuk ke kawasan pedalaman bertemu dan tinggal bersama-sama penduduk asli selain melawat kawasan perladangan kelapa sawit di negara ini,’’ katanya.

Menurut wanita itu, kunjungannya bukan sekadar lawatan tetapi bertujuan merasai cara kehidupan penduduk tempatan dan berinteraksi dengan mereka seperti masyarakat Iban di Kapit, Sarawak.

Malah semasa pilihan raya umum diumumkan baru-baru ini, Fernandez berbasikal ke Kampung Baru di Kuala Lumpur untuk melihat sendiri reaksi rakyat Malaysia.

“Saya sangat gembira berada di sini semasa pilihan raya umum pada 9 Mei lalu yang secara kebe­tulan jatuh pada Hari Eropah. Saya menunggang basikal ke Kampung Baru untuk melihat wajah-wajah penduduk Kuala Lumpur dan dapat merasai keterujaan rakyat Malaysia,’’ katanya.

Pada malamnya, kesemua ka­kitangan ibu pejabat EU berkumpul di pejabat mereka untuk mengikuti perkembangan keputusan pilihan raya itu dan malam berkenaan disifat­kan sukar untuk dilupakan ke­ra­na terlakarnya sejarah penting buat Malaysia.

“Malaysia adalah negara yang sangat berjaya dan saya amat bertuah kerana dapat menja­di saksi terhadap perubahan pe­merintahan yang penting, perubahan yang dilakukan oleh rakyat Malaysia secara aman.’’

“Sebagai seorang diplomat saya menghormati pilihan rak­yat Malaysia yang telah dilakukan secara demokratik dan kami (EU) sangat teruja untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan baharu seperti yang pernah kami lakukan dengan kerajaan terdahulu,’’ katanya.

Bagi memperkenalkan ne­ga­ra-negara EU kepada ma­syarakat negara ini, pihaknya turut mengadakan projek bersama-sama sekolah antaranya pertandingan lukisan tentang tanggapan pertama mereka terhadap EU.

“Daripada semua lukisan itu saya dapati para pelajar cenderung melukis makanan Eropah dan ini bermakna makanan merupakan salah satu cara untuk mengenali sesuatu negara,’’ katanya yang suka menyebut perkataan ‘makan-makan’ apabila bercerita tentang masyarakat Malaysia.

Antara yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan Melawati dan Sekolah Kebangsaan Seri Saujana, Sri Petaling dan kata Fernandez, lukisan terpilih akan dijadikan kalendar EU.

Apabila menyentuh tentang hubungan EU dengan Malaysia maka topik yang mesti disentuh pastilah tentang hubungan perdagangan terutama melibatkan minyak kelapa sawit yang mana penanaman komoditi itu didakwa menjejaskan iklim dunia dan hidupan liar terutama orang utan.

“Saya tahu tanaman ini penting untuk negara ini tetapi hubungan antara Malaysia dan EU bukan semata-mata ke­rananya, malah lebih luas ke­rana minyak kelapa sawit hanya mewa­kili lima peratus daripada jumlah perdagangan sedangkan EU mempunyai agenda lebih besar.’’ katanya.

Tegas beliau, pasaran EU akan terus terbuka kepada minyak kelapa sawit kerana mereka memahami bahawa ia memberi sumbangan besar kepada Malaysia dan negara jiran terutama dari segi pembangunan dan penjanaan pendapatan untuk golongan luar bandar seperti masyarakat peneroka.

“Saya sendiri turun padang melawat generasi kedua masyarakat peneroka Felda dan Felcra malah orang asli di pedalaman seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak,’’ katanya.

Terlalu banyak cerita tentang kejayaan Malaysia dalam mengamalkan kaedah terbaik ke arah kelestarian perladangan kelapa sawit, kata beliau sambil menambah, cerita-cerita itu perlu ditonjolkan untuk memberi tanggapan baik.

Salah satu projek yang diusahakan oleh EU ialah biomas yang dilancarkan di negara ini pada 2015 bertujuan mempelbagaikan sisa kelapa sawit selain kerjasama penyelidikan dan teknik perladangan.

Tegas beliau, banyak syarikat EU yang terlibat dalam perladangan kelapa sawit dan biogas antaranya Unilever dan syarikat bioteknologi dari Belgium.

“Kami saling berhubungan dengan pelbagai pihak yang terlibat dalam perladangan kelapa sawit di Malaysia kerana apabila dunia bercerita tentang minyak kelapa sawit mereka tidak melihat di sebalik­nya, kami perlu membawa ke­sedaran ini ke Brussel bagi memberi lebih pemahaman antara kedua-dua pihak,’’ katanya.

Duta itu juga menegaskan, EU dan Malaysia mempunyai hubu­ngan dua hala yang kukuh malah negara-negara EU adalah rakan dagang ketiga terbesar dengan negara ini.

“Lebih 2,000 perniagaan dari EU berada di negara ini dan penduduk EU telah menjadikan Malaysia sebagai rumah mereka,’’ katanya.

Beliau berkata, EU kini mempunyai rangka kerja baharu yang akan dimeterai antara kedua-dua kerajaan menjelang hujung tahun ini.

Antaranya termasuklah kerjasama perdagangan, alam sekitar seperti perubahan iklim, sains dan teknologi, pendidikan, inovasi, keselamatan rantau dan global serta keganasan dan pendatang.

“EU mempunyai agenda besar dan rangka kerja ini yang akan dimeterai kedua-dua pihak secepat mungkin, akan meluaskan skop kerjasama dan meningkatkan pelaburan ma­sing-masing,’’ katanya.

Beliau berkata: “Kami memerlukan rakan perdagangan bebas yang mapan. Rantau ini adalah penting bagi kami kerana mewakili ekonomi besar di Asia dan adalah penting Malaysia tidak kehilangan persaingan.’’

“Kami perlukan Malaysia sebagai rakan dagang utama di ASEAN dalam pasaran bebas ini kerana ekonomi dunia saling berkait. Apa juga berlaku antara dua negara akan melibatkan ekonomi, jus­teru kami perlu rakan dagang karib kekal dalam perdagangan bebas,’’ tegas Duta itu lagi.

Edisi Khas Sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia

Edisi Khas Sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia

Setelah hampir dua tahun berkhidmat sebagai Duta Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia, Maria Castillo Fernandez mempunyai cara tersendiri untuk mengenali rakyat Malaysia lebih dekat iaitu dengan bergaul dan tinggal bersama-sama mereka.

Hampir 80 peratus kawasan di Malaysia telah dijelajahi dengan memandu sendiri keretanya atau menaiki kenderaan awam malah menunggang basikal ke kawasan berhampiran ibu pejabat EU di Kuala Lumpur.

Pengamatannya terhadap rak­yat Malaysia membawanya kepada pemahaman bahawa Malaysia adalah negara Asia yang berbeza daripada negara-negara Asia lain kerana negara ini lebih Asia daripada Asia sendiri.

Ini kerana katanya, hampir semua bangsa Asia berada di Malaysia dengan mengamalkan budaya masing-masing tanpa sekatan tetapi mampu berintegrasi dengan baik dan masing-masing memperoleh manfaat daripada budaya bangsa lain.

Justeru bagi Fernandez, Malaysia dikenali kerana kepelbagaian kaum dan bangsa dan untuk mengenali Malaysia adalah dengan cara mengenali penduduknya.

“Saya telah melawat hampir semua negeri di Malaysia dengan memandu kereta saya termasuk ke kawasan pedalaman bertemu dan tinggal bersama-sama penduduk asli selain melawat kawasan perladangan kelapa sawit di negara ini,’’ katanya.

Menurut wanita itu, kunjungannya bukan sekadar lawatan tetapi adalah untuk merasai cara kehidupan penduduk tempatan dan berinteraksi dengan mereka seperti masyarakat Iban di Kapit, Sarawak.

Malah semasa pilihan raya umum diumumkan baru-baru ini, Fernandez berbasikal ke Kampung Baru di Kuala Lumpur untuk melihat sendiri reaksi rakyat Malaysia.

“Saya sangat gembira berada di sini semasa pilihan raya umum pada 9 Mei lalu yang secara kebe­tulan jatuh pada Hari Eropah. Saya menunggang basikal ke Kampung Baru untuk melihat wajah-wajah penduduk Kuala Lumpur dan dapat merasai keterujaan rakyat Malaysia,’’ katanya.

Pada malamnya, kesemua kakitangan ibu pejabat EU berkumpul di pejabat mereka untuk mengikuti perkembangan keputusan pilihan raya itu dan malam berkenaan disifatkan malam yang tidak akan dilupakan oleh semua kakitangan pejabat EU kerana terlakarnya sejarah penting buat Malaysia.

“Malaysia adalah negara yang sangat berjaya dan saya amat bertuah kerana dapat menjadi saksi terhadap perubahan pemerintahan yang penting, perubahan yang dilakukan oleh rakyat Malaysia secara aman.’’

“Sebagai seorang diplomat saya menghormati pilihan rakyat Malaysia yang telah dilakukan secara demokratik dan kami (EU) sangat teruja untuk bekerjasama lebih rapat dengan kerajaan baharu seperti yang pernah kami lakukan dengan kerajaan terdahulu,’’ katanya.

Bagi memperkenalkan negara-negara EU kepada masyarakat negara ini, pihaknya turut mengadakan projek bersama-sama sekolah antaranya pertandingan lukisan tentang tanggapan pertama mereka terhadap EU.

“Daripada semua lukisan itu saya dapati para pelajar cenderung melukis makanan Eropah dan ini bermakna makanan merupakan salah satu cara untuk mengenali sesuatu negara,’’ katanya yang suka menyebut perkataan `makan-makan’ apabila bercerita tentang masyarakat Malaysia.

Antara yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan Melawati dan Sekolah Kebangsaan Seri Saujana,Sri Petaling dan kata Fernandez, lukisan terpilih akan dijadikan kalendar EU.

Apabila menceritakan tentang hubungan EU dengan Malaysia maka topik yang mesti disentuh pastilah tentang hubungan dagangan terutama yang melibatkan kelapa sawit.

“Saya tahu kelapa sawit adalah penting untuk negara ini tetapi hubungan antara Malaysia dan EU bukan semata-mata kerana kelapa sawit kerana ia adalah lebih luas kerana kelapa sawit hanya mewakili lima peratus daripada dagangan sedangkan EU mempunyai agenda lebih besar daripada itu,’’ katanya.

Tegas beliau, pasaran EU terbuka dan akan kekal terbuka kepada kelapa sawit kerana mereka memahami bahawa kelapa sawit telah memberi banyak sumbangan kepada Malaysia dan negara jiran terutama daripada segi pembangunan dan menjana pendapatan untuk golongan luar bandar seperti masyarakat peneroka.

“Saya sendiri telah turun padang melawat generasi kedua masyarakat peneroka Felda dan Felcra malah orang asli di pedalaman seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak,’’ katanya.

Terlalu banyak cerita tentang kejayaan Malaysia dalam mengamalkan kaedah terbaik untuk kelestarian dalam perladangan sawit justeru kata Fernandez cerita itu perlu ditonjolkan dan untuk memberi tanggapan baik terhadap kelapa sawit.

Salah satu projek yang diusahakan oleh EU ialah Biomass yang dilancarkan di negara ini pada 2015 bertujuan mempelbagaikan sisa sawit selain kerjasama penyelidikan dan teknik perladangan.

Tegas beliau, banyak syarikat EU yang terlibat dalam perladangan sawit dan biogas antaranya Unilever dan syarikat bioteknologi dari Belgium.

“Kami saling berhubungan dengan pelbagai pihak yang terlibat dengan perladangan sawit di Malaysia kerana apabila dunia bercerita tentang sawit mereka tidak melihat di sebaliknya justeru kami perlu membawa kesedaran ini ke Brussel bagi memberi lebih pemahaman antara kedua-dua pihak,’’ katanya.

Fernandez juga menegaskan, EU dan Malaysia mempunyai hubungan dua hala yang kukuh malah negara-negara EU adalah negara dagang ketiga terbesar di negara ini.

“Lebih 2,000 perniagaan dari EU berada di negara ini dan penduduk EU telah menjadikan Malaysia sebagai rumah mereka,’’ katanya.

Dalam pada itu katanya, EU kini mempunyai rangka kerja baharu yang akan ditandatangani antara kedua-dua kerajaan menjelang hujung tahun ini.

Antara bidang yang terlibat dalam rangka kerja tersebut termasuklah kerjasama perdagangan, alam sekitar seperti perubahan iklim, sains dan teknologi, pendidikan, inovasi, keselamatan rantau dan global serta keganasan dan pendatang.

“EU mempunyai agenda yang besar dan melalui persetujuan rangka kerja ini yang akan ditandatangani oleh kedua-dua pihak secepat mungkin akan meluaskan skop kerjasama dan meningkatkan pelaburan masing-masing,’’ katanya.

Tegas Fernandez, Malaysia te­lah memberi isyarat yang baik kepada dunia terutama dalam situasi ekonomi dunia sekarang yang dikenakan sekatan ekonomi.

“Kami memerlukan rakan perdagangan bebas yang mapan. Rantau ini adalah penting bagi kami kerana mewakili ekonomi besar di Asia dan adalah penting Malaysia tidak kehilangan persaingan.’’

“Kami perlukan Malaysia sebagai rakan dagang utama di ASEAN dalam pasaran bebas ini kerana ekonomi dunia saling berkait. Apa juga berlaku antara dua negara akan melibatkan ekonomi, justeru kami perlu rakan dagang karib kekal dalam perdagangan bebas,’’ tegas beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN