TRAGEDI arak beracun yang sudah membunuh 22 orang dan menyebabkan lebih 50 orang dirawat merupakan berita yang sangat mengganggu fikiran rakyat Malaysia sehari dua ini. Pertamanya, jumlah mangsa yang terkorban besar dan kedua, kes berkenaan yang pada peringkat awalnya dikesan berlaku di Lembah Klang rupa-rupanya turut berlaku di Perak. Tidak mustahil kejadian sama telah berlaku di negeri lain walaupun belum ada lagi laporan setakat ini.
Walaupun kes tersebut melibatkan penagih arak, orang biasa yang bukan peminum arak juga ada sebab untuk berasa bimbang. Bagaimana produk beracun seumpama itu boleh masuk dengan mudah ke negara ini dan bagaimana pula dengan produk-produk import lain seperti barangan makanan dan produk kosmetik, adakah selamat?
Berdasarkan serbuan, rampasan dan siasatan awal ke atas tiga jenama arak yang dikatakan beracun itu, polis percaya arak tersebut diseludup masuk dari sebuah negara jiran. Analisis Kementerian Kesihatan pula mengesahkan minuman tersebut mengandungi metanol yang tidak mematuhi Akta Makanan 1983 selain tidak mematuhi keperluan pelabelan di bawah Peraturan -peraturan Makanan 1985.
Seperkara lagi, apakah negara ini masih lagi menjadi ‘lapangan lambakan’ atau tempat pembuangan ‘sampah’ bagi barangan reject dari negara luar. Sebelum ini banyak kali dilaporkan Malaysia berhadapan dengan masalah lambakan barang makanan, sayur-sayuran, produk kesihatan, barangan kitar semula serta produk-produk tidak berkualiti dan berbahaya lain. Beberapa minggu lalu pernah dilaporkan mengenai lambakan cili beracun dari negara luar sehingga menjejaskan pengusaha-pengusaha tempatan. Bukan itu sahaja, Malaysia juga mengalami masalah lambakan pekerja asing sama ada yang masuk secara sah ataupun tanpa izin yang didalangi segelintir ejen pekerja asing. Negara ini juga menjadi tempat lambakan barangan plastik dari negara lain bagi tujuan dikitar semula.
Serbuan yang dijalankan oleh pihak berkuasa rentetan daripada tragedi tersebut mendapati jenama arak yang disyaki menjadi punca kematian warga asing serta warga tempatan itu dijual secara terbuka di beberapa kedai runcit. Premis perniagaan terlibat diusahakan oleh warga asing sendiri di kawasan penempatan atau tumpuan pekerja asing. Jenama ‘arak pembunuh’ itu dipercayai telah lama berada dalam pasaran Malaysia dan menjadi pilihan peminum arak kerana harga murah serta senang dibeli. Tarikan kepada harga menjadikan soal kualiti produk itu perkara kedua. Selagi harganya masih dalam lingkungan mampu beli, selagi itulah minuman tersebut jadi pilihan. Tidak hairanlah, tiga jenama arak tersebut mudah dibeli termasuk di kedai-kedai runcit.
Kejadian yang meragut nyawa puluhan mangsa yang kebanyakannya warga asing juga menguatkan lagi tanggapan bahawa lambakan barangan atau produk tidak berkualiti ini berlaku kerana ada permintaan. Dalam keadaan harga minuman beralkohol secara relatifnya mahal, peminum arak dalam kalangan warga asing akan mencari produk berharga murah. Peminum arak warga tempatan pun tumpang sekaki produk harga rendah itu.
Apa yang sedang berlaku juga membuktikan pintu sempadan negara masih lagi mudah dibolosi dengan kegiatan penyeludupan. Tindakan penguatkuasaan pula ibarat pahat dengan penukul, hanya dilakukan setelah ada kes. Kalau tidak ada kematian ‘besar-besaran’ beberapa hari lalu tidak akan ada sesiapa pun mahu mengambil peduli bahawa banyak produk beracun dan berbahaya sedang dijual secara berleluasa.
Sementara kes ini masih lagi ‘panas,’ pihak berkuasa perlu memperhebatkan operasi mengesan dan menyita semua jenama arak yang diseludup masuk terutama di kawasan sasaran pekerja asing. Kalau selama ini mereka sekadar meninjau dari luar, kali ini semua pihak perlu ‘menjengah’ ke dalam premis perniagaan yang disyaki untuk melihat kalau-kalau ada apa lagi produk haram dan disyaki bahaya dijual secara terbuka.
Khabarnya pada masa ini banyak premis terlibat menutup sementara perniagaan bagi mengelakkan tindakan pihak berkuasa. Selepas ini mereka akan beroperasi seperti biasa jika tidak ada penguatkuasaan susulan. Oleh kerana kes ini sudah merebak ke negeri-negeri lain di luar Kuala Lumpur, semua pihak berkuasa tempatan kena ambil maklum dan bertindak. Jangan anggap ini kes di Lembah Klang dan Perak sahaja.
Isu besar sekarang ialah sejauh mana keupayaan pasukan penguatkuasaan mengekang aktiviti penyeludupan yang tidak berkesudahan ini. Sempadan negara mudah benar ‘bolos’ walaupun macam-macam cara dan pendekatan sudah diperkenalkan. Jadi di mana silapnya? Adakah para penyeludup terlalu ‘licik’ atau ada segelintir kakitangan penguat kuasa tidak ambil cakna berhubung soal-soal integriti diri.










