TUMPAT 25 Sept. – Bau busuk sampah sememangnya menjengkelkan sesetengah orang, namun tidak bagi seorang pesakit mental Wan Hafsah Che Awan yang tinggal di Kampung Bendang Pak Yong, di sini.
Wanita berusia 39 tahun itu dikatakan sudah lebih sedekad hidup sebatang kara bertemankan sampah, iaitu selepas kedua ibu bapa angkat yang membelanya meninggal dunia, 15 tahun lalu.
Menurut jirannya, Che Omar Isa, 68, kematian kedua ibu bapa angkat Wan Hafsah sejak 15 tahun lalu menyebabkan dia mengalami tekanan perasaan sekaligus menjadikan kehidupannya terabai.
Menurutnya, sebelum ini Wan Hafsah pernah dihantar ke hospital mental namun dibenarkan pulang selepas dia didapati kembali pulih.
“Sebagai jiran, saya cuba ambil berat tapi sukar untuk menjaga Wan Hafsah kerana dia suka merayau dan kerap hilang kerana sering lupa jalan pulang ke rumah.
“Kehidupan Wan Hafsah sekarang bergantung harap sepenuhnya kepada belas ihsan jiran dan penduduk kampung yang sentiasa membantu,” katanya.
Che Omar memberitahu, Wan Hafsah sukar mendapat bantuan kerana dia berstatus penduduk tetap.
Katanya, atas dasar kemanusiaan dia berharap ada pembelaan kepada Wan Hafsah agar ditempatkan di rumah perlindungan demi keselamatan wanita itu daripada gangguan seksual. – UTUSAN ONLINE










