SUNGAI GOLOK – Seorang pegawai polis menembak mati isterinya sebelum bertindak membunuh diri sendiri depan anak perempuan mereka berusia tujuh tahun dalam sebuah kereta di Sungai Golok di Wilayah Narathiwat, selatan Thailand.
Menurut polis, tragedi pada pukul 5.50 petang kelmarin (waktu tempatan) itu dipercayai berpunca daripada masalah keluarga.
“Kanak-kanak tersebut yang masih berpakaian sekolah ditemui di tempat duduk belakang kereta berkenaan dalam keadaan ketakutan dan menangis,” kata Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Kolonel Prayuth Ponsanti kepada pemberita.
Pegawai polis terbabit dikenali sebagai Koperal Boonyawat Trakulprom, 28, bertugas di Mahkamah Narathiwat manakala isterinya pula dikenali sebagai Nattanan Trakulprom, 30, ialah seorang guru muzik.










