PENNSYLVANIA, Amerika Syarikat (AS) – Pancaran radiasi inframerah tulen yang berasal daripada teras atau sisa sebuah bintang mati berjaya dikesan oleh saintis buat kali pertama, kata penulis sebuah kajian baharu seperti yang dilaporkan portal berita MailOnline kelmarin.
Bintang neutron itu yang jauhnya 1,630 tahun cahaya dari Bumi berada dalam gugusan pulsar dikenali sebagai Magnificent Seven.
Bintang neutron merupakan teras atau sisa bintang yang sudah mati, manakala pulsar ialah bintang neutron yang berputar dan mempunyai magnet atau tarikan graviti yang sangat kuat.
Pulsar biasanya adalah sisa yang tinggal selepas bintang meletup dan hancur dalam fenomena dikenali sebagai supernova.
Pancaran radiasi daripada pulsar telah dikesan sebelum ini dan pada kebiasaannya, radiasi itu dikesan dalam bentuk gelombang radio atau sinar-X, ekoran jarak gelombang kedua-duanya merupakan yang paling kuat.
Bagaimanapun, pakar-pakar berkata, ini kali pertama pulsar yang hanya mengeluarkan gelombang infra-merah ditemui. Menurut mereka, penemuan tersebut boleh mengubah kefahaman ahli-ahli sains berhubung pembentukan dan perkembangan bintang neutron.
Ahli-ahli astronomi dari Universiti Negeri Pennsylvania merupakan sebahagian daripada pasukan saintis yang membuat penemuan itu dengan menggunakan Teleskop Angkasa Lepas Hubble milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).
Menurut saintis-saintis berkenaan, sejumlah jasad angkasa dipercayai debu mengelilingi pulsar itu.
Bahan angkasa lepas itu terkumpul di sekeliling bintang neutron itu selepas letupan supernova. Menurut mereka, interaksi tersebut menyebabkan pulsar itu menjadi panas dan memperlahankan putarannya dengan haba yang dibebaskan membentuk gelombang infra-merah. – Agensi










