Saingan tiga penjuru rebut juara Da'i 6 - Utusan Malaysia

Saingan tiga penjuru rebut juara Da’i 6

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Selepas 10 minggu bersaing di pentas program realiti Da’i musim keenam, kini hanya tinggal tiga orang pendakwah muda iaitu Muhammad Adam Muhibullah Abdullah (Da’i Adam), Haziq Safwan Norzaman (Da’i Haziq) dan Imran Mohd. Zaki (Da’i Zaki) yang bakal berentap bagi menentukan sang juara.

Memiliki latar belakang pendidikan yang berbeza, ketiga-tiganya mempunyai peluang sama rata pada pentas akhir andai peluang yang diberi digunakan sepenuhnya oleh mereka.

Menurut Murabbi Da’i musim ini, Ustaz Fakhrul Radhi Khamarudin, finalis yang berjaya ke peringkat akhir dipilih berdasarkan prestasi mereka sewaktu saingan separuh akhir yang dibuat sepenuhnya berlandaskan markah juri profesional.

“Selaku guru dan mentor mereka sepanjang 10 minggu ini, saya melihat mereka memiliki kelebihan tersendiri untuk menyerlah pada pertandingan akhir dan layak untuk digelar sebagai finalis.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya berharap pada pentas akhir nanti, mereka dapat memberikan penyampaian dan pementasan yang lebih baik berbanding sebelumnya serta mampu menyahut cabaran terutamanya dalam sesi soalan spontan bagi membuktikan keupayaan bergelar pendakwah nusantara,” jelasnya dalam satu sesi pada sidang akhbar di Sri Pentas TV3 baru-baru ini.

Tambah Fakhrul yang juga salah seorang daripada anggota kumpulan nasyid UNIC, Da’i musim ini juga menekankan penguasaan teknik taranum dalam bacaan al-Quran sewaktu persembahan agar ia secara tidak langsung memberi didikan baharu kepada penonton.

“Musim ini kami menekankan penguasaan taranum bagi setiap peserta kerana mahu Da’i yang dihasilkan tidak hanya pandai bercakap tetapi mampu menguasai bahasa al-Quran dengan baik,” terangnya.

Pemenang

Sementara itu, bagi Da’i Adam yang merupakan peserta paling konsisten sepanjang 10 minggu pertandingan, kemenangan atau kejuaraan bukan fokus utama, sebaliknya lebih memfokuskan persediaan untuk tidak menghampakan juri dengan penyampaiannya di pentas akhir.

Bagi Adam yang juga seorang mualaf sejak tahun 2008 lagi, tujuan utama dia menyertai rancangan itu adalah untuk menimba pengalaman dan ilmu berkenaan agama Islam serta tidak pernah menjangka rezekinya bertahan sehingga peringkat akhir.

“Saya pernah berasa tidak layak menyertai program Da’i kerana sedar, selaku saudara baharu, masih bayak lagi hal berkenaan Islam yang perlu dipelajari.

“Namun, saya tanamkan niat ini boleh menjadi platform untuk belajar lebih banyak tentang agama ini dan berkongsi pengalaman saya sebelum memeluk Islam,” katanya lagi.

Juara Da’i musim keenam akan menerima wang tunai RM60,000, tiket umrah untuk dua orang tajaan Almas Beauty&Health Sdn. Bhd. dan trofi.

Bagi naib johan pula akan mendapat wang tunai RM15,000, tiket umrah untuk seorang tajaan Almas Beauty&Health Sdn. Bhd. beserta trofi. Tempat ketiga pula akan memperoleh wang tunai RM10,000, tambahan sagu hati duit serta produk Almas masing-masing bernilai RM2,000.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini