MOSCOW 17 Sept. – Rusia mendakwa telah mengeluarkan maklumat terbaharu untuk menyokong dakwaannya sebelum ini bahawa misil yang digunakan untuk menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 pada 2014 adalah milik tentera Ukraine.
Kementerian Pertahanan berkata mereka telah mengeluarkan nombor siri misil BUK buat kali pertama dan mendakwa ia telah dihasilkan serta dihantar ke Ukraine pada era Kesatuan Soviet dan tidak pernah dikembalikan ke Rusia.
“Misil dengan nombor siri 886847379 yang digunakan pada sistem misil BUK pada 29 Disember 1986 telah dihantar menggunakan pengangkutan kereta api kepada unit ketenteraan bernombor 20152,” kata pegawai kanan tentera, Nikolai Parshin seperti dipetik oleh agensi berita RIA Novosti.
Tambah beliau, unit ketenteraan itu merujuk kepada misil tersebut berpusat di Ukraine sambil menambah maklumat terbabit diklasifikasikan sebagai ‘rahsia sulit’. – AFP











