RM15j naik taraf sukan di Muar - Utusan Malaysia

RM15j naik taraf sukan di Muar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR 17 Sept. – Kementerian Belia dan Sukan akan menaik taraf beberapa infrastruktur sukan di daerah ini bagi melahirkan lebih ramai atlet dan memberi peluang kepada masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, bagi merancakkan lagi aktiviti sukan di daerah yang terletak di utara Johor itu, beberapa pembangunan sukan baharu juga akan dibangunkan pihaknya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, perkara berkenaan juga adalah sebahagian visinya sebaik memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu untuk membangunkan Muar sebagai mutiara Johor dalam aspek sukan dan hab anak muda.

“Beberapa pembangunan sukan baharu dirancang di Muar meliputi kolam renang yang dahulunya memang wujud di sini, kawasan sukan ekstrem, tapak bagi aktiviti memanah, berbasikal dan beberapa sukan lain.

“Selain itu, beberapa infrastruktur sedia ada yang mungkin dalam keadaan usang seperti gelanggang futsal, bola jaring dan bola keranjang telah dimulakan kerja-kerja menaik taraf secara berperingkat-peringkat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sukan Merdeka 2018 di Tanjung Ketapang di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri, Mohd. Khuzzan Abu Bakar dan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali.

Syed Saddiq berkata, kementerian sudah memperuntukan kira-kira RM15 juta bagi kerja-kerja berkenaan yang akan dilaksanakan secara berfasa da­lam tempoh lima tahun ini.

“Projek-projek ini akan bermula selewat-lewatnya tahun depan tetapi ada beberapa kerja membaik pulih sudah mula dilakukan, namun bagi kerja penambahbaikan Stadium Muar dan membina kolam renang akan mengambil masa lebih lama,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya berharap segala kemudahan sukan tersebut akan benar-benar memberi manfaat dan digunakan secara maksima oleh orang ramai sekali gus melahirkan masyarakat yang lebih sihat dan bergiat aktif.

“Stadium Muar dahulu misalnya kerap digunakan untuk pelbagai aktiviti sukan termasuk oleh orang ramai tetapi kebelakangan ini prosedur untuk menggunakannya agak rumit. Jadi, buat apa ada infrastruktur sukan tetapi tidak boleh digunakan orang awam,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN