Remaja lelaki maut, kereta dinaiki hilang kawalan langgar pokok - Utusan Malaysia

Remaja lelaki maut, kereta dinaiki hilang kawalan langgar pokok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Seorang remaja lelaki maut manakala rakannya cedera apabila kereta dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar pokok di kilometer 244.4 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 8.40 pagi berhampiran Plaza Tol Pedas-Linggi itu, pemandu kereta berusia 19 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera teruk pada kepala. 

Rakannya pula mengalami kecederaan pada kedua-dua tangan dan kaki. 

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, nahas membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi putih yang dinaiki dua remaja dalam perjalanan dari Melaka menuju ke ibu negara.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan dan terbabas sebaik melalui tempat kejadian. Mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu mengalami kecederaan parah pada kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Rakan pemandu itu cedera pada tangan dan kaki. Dia dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk rawatan lanjut,” katanya hari ini.

Hock Poh berkata, mayat remaja itu turut dihantar ke hospital sama untuk dibedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN