KUANTAN 24 Sept. – Seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah kebangsaan di daerah ini mengaku mengambil dadah jenis opiate dan metha- phetamine sejak awal tahun ini.
Remaja itu yang ditahan di sebuah pusat snuker dalam Operasi Ponteng Sekolah di sekitar bandar ini berkata, dia mengambil dadah tersebut sekadar untuk mencuba.
“Saya sekadar mahu mencuba dadah ini. Apabila ditahan kerana ponteng sekolah dan ujian air kencing saya positif, saya menyesal.
“Saya tidak akan mengulangi kesilapan ini dan ibu bapa pasti sedih apabila tahu saya mengambil dadah,” kata remaja itu yang lengkap berpakaian sekolah ketika ditemui di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di sini hari ini.
Operasi Ponteng Sekolah itu merupakan anjuran Jabatan Pendidikan negeri dengan kerjasama PPD, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Seramai 31 pelajar sekolah sekitar daerah ini ditahan dalam operasi yang bermula pukul 9 pagi itu.
Yang hadir sama Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti negeri, Datuk Abdul Aziz Salleh dan Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan, Kemanusiaan Jabatan Pendidikan negeri, Mohd. Raauf Jali.
Sementara itu, Mohd. Raauf berkata, daripada 31 orang yang ditahan itu, 23 orang merupakan pelajar lelaki,manakala tiga perempuan.
“Kebanyakan mereka adalah pelajar tingkatan satu sehingga tingkatan enam serta murid tahun tiga dan empat.
“Semua pelajar dan murid yang ditahan diambil ujian air kencing dan dua daripada mereka disahkan positif dadah jenis opiate serta methamphetamine,” katanya.










