BILBAO 16 Sept. – Permulaan sempurna Real Madrid bagi musim baharu La Liga terencat selepas mereka diikat dengan keputusan seri 1-1 dalam perlawanan yang berlangsung tegang di Athletic Bilbao, setelah Los Blancos keciciran dua mata di belakang juara bertahan, Barcelona yang menghuni kedudukan teratas carta.
Iker Muniain meletakkan Athletic di depan pada minit ke-32 selepas Real gagal berada di kubu pertahanan mereka tepat pada masanya ketika serangan balas.
Tuan rumah memiliki beberapa peluang untuk membolosi pintu gol lawan dalam aksi menghiburkan sepanjang babak pertama, sementara Real pula terpaksa menyaksikan dua percubaan berbahaya mereka dinafikan oleh penjaga gol muda Athletic yang baharu berusia 21 tahun, Unai Simon.
Bagaimanapun, pasukan pelawat akhirnya berjaya memecah kebuntuan jaringan apabila Isco menanduk masuk bola hasil hantaran silang Gareth Bale pada minit ke-63, setelah Real mempamerkan peningkatan pada persembahan mereka sebaik pemain tengah, Casemiro di bawa masuk sewaktu babak kedua bermula.
Walaupun pintu gol yang dikawal Simon akhirnya dibocori, namun, penjaga gol muda itu tidak mudah hilang fokus apabila dia cemerlang menyelamatkan dua percubaan berbahaya daripada Marco Asensio dan Sergio Ramos.
Athletic turut berpeluang melancarkan serangan balas menerusi rembatan Inaki Williams tetapi percubaannya itu tersasar jauh melepasi palang gol, malah, Basques juga dinafikan sepakan penalti setelah bola mengenai lengan Casemiro sewaktu bintang Brazil itu terjatuh.
Keputusan untuk tidak menghadiahkan penalti ternyata membangkitkan kemarahan penyokong Athletic yang memberikan sambutan kurang menyenangkan di San Mames, sehingga mempengaruhi persembahan di atas padang dan memaksa pengadil, Jose Luis Gonzalez Gonzalez mengeluarkan lapan kad kuning yang mana enam daripadanya dilayangkan kepada pemain Athletic.
Real kini menghuni kedudukan kedua dalam carta La Liga dengan 10 mata selepas empat perlawanan, manakala Barcelona yang mengumpul 12 mata berjaya bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan 2-1 di Real Sociedad dalam saingan yang berlangsung lebih awal. – REUTERS











