LONDON – Penasihat Red Bull, Dr. Helmut Marko mendedahkan bahawa hayat pasukan tersebut pada saingan Formula Satu (F1) akan ditentukan menerusi keberkesanan kerjasama mereka bersama Honda pada musim depan.
Biarpun tidak menyatakan secara teliti mengenai sebab mahu meninggalkan saingan F1, Marko menegaskan bahawa pembekal enjin dari Jepun tersebut merupakan percaturan akhir buat pasukan berkenaan.
“Kami sangat mengalu-alukan kerjasama Honda dengan pasukan kami untuk tahun-tahun akan datang. Bagaimanapun, jika kerjasama ini tidak berjaya, atas apa jua alasan, Red bull bakal tinggalkan F1,” jelasnya.
Setakat ini, Honda menghasilkan keputusan memberangsangkan bersama pasukan kedua Red Bull iaitu Toro Rosso apabila pelumbanya, Pierre Gasly berjaya meraih kedudukan keempat pada Grand Prix (GP) Bahrain, April lalu.
Dalam pada itu, Marko menjelaskan bahawa Honda sebenarnya juga hampir menarik diri daripada arena F1 setelah mengharungi tiga musim hambar bersama pasukan McLaren.
“Kerjasama Honda dan Toro Rosso berjalan lancar setakat ini. Selepas kegagalan bersama McLaren, Honda hampir putus asa dan kami terpaksa meyakinkan mereka supaya memulakan episod baharu bersama kami,” ujarnya. – Agensi











