PUTRAJAYA 28 Sept. – Mahkamah Rayuan membatalkan rayuan akhir pendakwa raya terhadap pembebasan bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, daripada tuduhan dengan sengaja gagal mengisytiharkan perolehan harta, lima tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohtarudin Baki yang bersidang bersama Datuk Ahmadi Asnawi dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil sebulat suara memutuskan demikian selepas pendakwa raya menarik balik rayuan tersebut.
Sehubungan itu, keputusan Mahkamah Tinggi pada 22 November tahun lalu yang melepas dan membebaskan Chin Wah, 60, daripada tuduhan itu, dikekalkan.
Pada 26 Mei tahun lalu, Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan Chin Wah terhadap tuduhan dengan sengaja gagal mengisytiharkan segala punca perolehan dalam Surat Akuan Bersumpah bertarikh 8 Januari 2014.
Beliau didakwa gagal mematuhi terma Notis Pendakwa Raya mengikut Seksyen 49(1) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001 bertarikh 23 Disember 2013.
Chin Wah dituduh melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Blok D6, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini di antara 23 Disember 2013 dan 21 Januari 2014. – UTUSAN ONLINE











