Rakyat Palestin terus dibunuh - Utusan Malaysia

Rakyat Palestin terus dibunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA 15 Sept. – Seramai tiga penduduk Palestin maut dan 30 lagi cedera selepas tentera Israel melepaskan tembakan ketika protes mingguan dijalankan di sempadan Gaza semalam.

Tentera Israel mendakwa mereka terpaksa menggunakan ‘kekerasan’ untuk mengelakkan ‘pencerobohan’ di sempadan oleh kira-kira 12,000 penduduk Palestin yang me­rusuh di beberapa kawasan berdekatan pagar sempadan.

Ada antara penunjuk pe­rasaan membaling batu dan bom api ke arah anggota tentera rejim Zionis.

Menurut anggota perubatan, salah seorang yang terkorban adalah remaja lelaki berusia 14 tahun.

Sehingga semalam, seramai 177 orang penduduk Palestin terbunuh dalam bantahan The Great Return March sejak 30 Mac lalu yang menuntut agar beratus ribu pelarian Palestin yang melarikan diri atau di­singkirkan ketika perang untuk membentuk Israel pada 1948 dibenarkan pulang.

Tindakan keras Israel terhadap penunjuk perasaan me­nerima kritikan antarabangsa, meskipun Washington ‘memberi sokongan penuh’ terhadap rejim Zionis.

Amerika Syarikat (AS) sebelum ini mendakwa pergerakan Hamas sengaja menganjurkan bantahan tersebut untuk me­ngalihkan perhatian dunia daripada masalah kemiskinan yang terjadi di Gaza dan masalah pentadbiran kepada penduduk Palestin .

Hamas bagaimanapun menafikan dakwaan terbabit.

Dalam pada itu, rejim Zionis mendakwa mereka menemukan bom yang ditanam oleh penduduk Palestin sebanyak dua kali pada minggu ini.

Awal pagi semalam, beberapa penduduk Palestin merangkak di celah-celah pagar sempadan dan membaling bom paip ke arah tentera Israel tetapi tiada korban atau kece­deraan dilaporkan. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN