KUALA LUMPUR 5 Sept – Keseronokan mengikuti kem motivasi di Taman Negara Pahang tidak menghalang sekumpulan 25 kanak-kanak meraikan sambutan Hari Kebangsaan ke-61 dalam suasana penuh patriotik.
Berbekalkan semangat Sayangi Malaysiaku, peserta cilik program Nusa Nature Camp yang berusia empat hingga 13 tahun membuktikan kecintaan pada negara dengan mengibar Jalur Gemilang jauh di tengah hutan selama tiga hari program berlangsung.
Acara tahunan syarikat SPKG Tours Sdn. Bhd. dengan kerjasama Tourism Pahang itu merupakan program yang memberi pendedahan kepada kanak-kanak mengenai alam semulajadi dalam semangat sambutan Hari Kebangsaan.
Antara pengisian program adalah syarahan kenegaraan, aktiviti jelajah hutan, mandi sungai, kunjungan ke kampung orang asli, solat berjemaah, ceramah agama, mewarna dan kerja dalam kumpulan. -UTUSAN ONLINE











