KUALA LUMPUR 24 Sept. – Tiada rekod cemerlang dalam urus tadbir kerajaan dan sekadar bersandarkan kepada Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sebagai faktor yang menyebabkan Rafizi Ramli tewas tipis dalam persaingan merebut jawatan Timbalan PKR dalam pemilihan parti di Pulau Pinang, kelmarin.
Berdasarkan keputusan awal yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, pengiraan undi di semua 13 cabang PKR negeri itu mendapati Rafizi memperolehi 3,150 undi, kurang 176 undi berbanding 3,326 yang diterima oleh penyandang Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Cabang yang dimenangi oleh Mohamed Azmin ialah Kepala Batas, Batu Kawan, Nibong Tebal, Bukit Bendera, Tanjong, Jelutong, Bayan Baru dan Bukit Mertajam, sementara Rafizi menang di Permatang Pauh, Bagan, Tasek Gelugor, Bukit Gelugor dan Balik Pulau.
Berdasarkan keputusan di Pulai Pinang itu, penganalisis politik firma penyelidikan Skydata Centre, Dr. Ainul Adzellie Hasnul berpandangan bahawa corak berkempen oleh kem Rafizi yang mencetuskan persepsi negatif terhadap Mohamed Azmin dilihat gagal mengaburi pandangan ahli-ahli PKR.
“Ahli-ahli parti mungkin kurang gemar berkempen berbentuk menyerang lawan. Mereka lebih memandang tinggi pencapaian Mohamed Azmin selaku Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan bekas Menteri Besar Selangor,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Bagaimanapun kem Rafizi boleh berpuas hati apabila anak Anwar, Nurul Izzah yang dikatakan cenderung menyokong Rafizi agak jauh meninggalkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin dalam perebutan kedudukan sebagai Naib Presiden PKR.
Empat calon yang mendapat undi tertinggi akan diisytiharkan mengisi jawatan sebagai Naib Presiden.
Pemilihan PKR akan berakhir pada minggu pertama November ini, dengan hanya PKR Pulau Pinang sahaja yang sudah menyelesaikan pemilihan parti.










