KUALA LUMPUR 10 Sept. – Cuti umum selama dua hari sempena sambutan ulang tahun keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V semalam dan Maal Hijrah esok memberi peluang kepada ibu bapa membawa anak-anak mereka mengunjungi tempat-tempat menarik termasuk Pusat Sains Negara di Bukit Kiara di sini.
Pegawai Sains (Pameran) Pusat Sains Negara, Nurul Haizun Abd. Ghani berkata, kira-kira 2,000 orang mengunjungi pusat berkenaan, hari ini.
“Pusat Sains Negara menyediakan 10 kawasan pameran di dalam bangunan dan 10 lagi dikawasan terbuka seperti Taman Rama-rama dan Makmal Rahsia Semulajadi.
“Pertunjukan dan demonstrasi sains juga diadakan di ruang pertunjukan bagi mendedahkan para pengunjung dengan dunia sains,” katanya kepada Utusan Online.
Pusat Sains Negara dibuka setiap hari Sabtu hingga Khamis, mulai pukul 9 pagi hingga 5 petang manakala tiket dijual pada harga RM6 untuk dewasa dan RM3 bagi kanak-kanak. – UTUSAN ONLINE










