BATAM, Indonesia terkenal dalam kalangan rakyat Malaysia terutama Johor kerana mempunyai banyak gedung beli-belah, destinasi pelancongan, kawasan industri selain tempat hiburan.
Jika dikaitkan dengan pelancongan, Batam sememangnya terkenal dengan keindahan pulau dengan kejernihan air lautnya seperti Pulau Rempang, Pulau Galang dan Pulau Galang Baru.
Pulau Pengelap merupakan satu lagi tarikan baharu di Batam yang sudah dan sedang dibangunkan secara berperingkat dengan kos RM48.75 juta.
Penulis bersama 26 ahli Kelab Media Johor (KMJ) berpeluang menjejakkan kaki ke Pulau Pengelap baru-baru ini, bagi memperkenalkan dan mempromosikannya.
Pulau yang dibangunkan sejak dua tahun lalu di kawasan seluas kira-kira 800 hektar itu mula dibuka untuk kunjungan pelancong pada September 2018.
Menurut Pengarah Urusan PT Malindo Marine Shipyard, Harmanto Tan, pulau berkenaan mengambil masa lima tahun untuk dibangunkan dan akan siap sepenuhnya pada 2021.
“Walaupun belum siap sepenuhnya, kita sudah terima kunjungan pelancong sejak dua tahun lalu dan kita mempromosikan tempat ini secara berperingkat mulai tahun lalu.
“Ketika ini, terdapat kolam renang di tepi laut. Selain itu, pelancong boleh melakukan snorkeling untuk menikmati pemandangan indah hidupan marin seperti kerang raksasa, penyu dan batu karang hidup,” katanya kepada S2 .
Disebabkan pulau itu masih dalam fasa pembangunan, pengunjung ditempatkan di sebuah pelantar atau pontoon yang dibina khas untuk kegunaan penyelam dan peminat aktiviti snorkeling. Pelantar dinamakan Kepri Coral itu diletakkan 200 meter dari pesisir pantai.
Boleh memuatkan lebih 200 pengunjung dalam satu masa, pelantar itu menyediakan 10 bilik yang sesuai bagi percutian keluarga, selain mempunyai sebuah akuarium terbuka di dasar laut yang membolehkan pengunjung melihat secara langsung hidupan marin iaitu pelbagai jenis ikan.
Pengunjung juga berpeluang melakukan pelbagai aktiviti, selain dijamu dengan makanan laut segar yang disediakan pihak pengurusan sambil menikmati keindahan alam sekitar.
Fasa pembangunan berikutnya adalah pulau itu akan dilengkap-kan dengan 20 khemah khas, resort dengan lebih 100 bilik, helipad, padang golf 18 lubang, termasuk kemudahan untuk kegiatan sukan lasak seperti menunggang kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV), jet ski, quadski dan hovercraft.
Terdapat juga aktiviti yang sesuai untuk seisi keluarga iaitu meredah hutan dan trek basikal di sepanjang 35 kilometer mengelilingi pulau berkenaan, di samping penyediaan zoo mini untuk kanak-kanak.
Bagi yang ingin ke Pulau Pengelap, mereka perlu menaiki feri dari Jeti Stulang Laut, Johor Bahru atau Jeti Puteri Harbour, Iskandar Puteri, Johor ke Harbour Bay, Batam dengan perjalanan memakan masa kira-kira dua jam.
Perkhidmatan feri dengan 32 kali perjalanan pergi dan balik setiap hari disediakan dari Jeti Stulang Laut dan Jeti Puteri Harbour ke Jeti Harbour Bay.
Syarikat Ocean Dragon Ferries menyediakan perkhidmatan tersebut melibatkan 16 perjalanan pergi balik, masing-masing ke dua jeti berkenaan dari pukul 7 pagi hingga 6.30 petang.
Dari jeti, kita perlu menaiki bas selama kira-kira 90 minit untuk tiba ke Terminal Kepri Coral. Kemudian kita akan menaiki feri selama 20 minit untuk tiba ke pelantar di Pulau Pengelap.










