KUANTAN 18 Sept. – Kejayaan memberi kesedaran dan kefahaman kepada golongan muda tentang fungsi Perlembagaan negara, semangat patriotisme serta kedaulatan institusi diraja mendorong Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) sekali lagi menganjurkan Program Wacana Diraja: Raja Perlembagaan dan Patriotisme di Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan (IPGKTAA) di Lipis dekat sini pada 9 Oktober ini.
Presiden Mubarak, Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata, penganjuran dengan kerjasama Jemaah Pangkuan Diraja Pahang itu juga adalah sebagai antara acara sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.
Beliau berkata, ia masih mengekalkan konsep bual bicara bersama panel pakar melibatkan seramai 500 peserta terdiri daripada pemimpin-pemimpin muda berbilang kaum tanpa mengira fahaman politik dan pertubuhan belia selain kerabat diraja Pahang.
“Bagaimanapun, kali ini kita lebih mengfokuskan peringkat akar umbi yang mana melibatkan kira-kira 500 pemimpin muda di Pahang Barat iaitu dari Kuala Lipis, Raub, Bentong dan Cameron Hihglands.
“Para peserta terdiri daripada setiap lapisan masyarakat berbilang kaum untuk didedahkan tentang institusi diraja Pahang, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang dan perasaan cinta terhadap negeri,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Program Wacana Diraja: Raja Perlembagaan dan Patriotisme siri dua di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










