JOHOR BAHRU 15 Sept. – Lebih 800 pengunjung menyerbu program Jualan Jimat Harapan Rakyat (JJHR) Malaysia untuk mendapatkan pelbagai barang basah dengan potongan 50 peratus di Taman Cempaka, Kempas, di sini sebentar tadi.
Program anjuran Dewan Perniagaan JJHR Malaysia menerusi Fiesta Kempas Cergas 2018 itu pertama kali diadakan di negeri ini yang menyasarkan golongan B40 atau yang pendapatan bawah RM4,000.
Presiden dan Ketua Pegawai Sekretariat dewan perniagaan tersebut, Datuk Dr. Mohd. Noor Ali Akbar berkata, pihaknya menyasarkan golongan B40 iaitu komuniti miskin di bandar.

“Kajian kita menerusi program ini mendapati penduduk kategori B40 boleh berbelanja dengan harga runtuh dan menjimatkan sehingga RM50 seminggu.
“Kita bercadang memperluaskan program ini ke kawasan Parlimen lain dan daerah-daerah yang dikenal pasti mempunyai ramai golongan B40 di kawasan bandar,” katanya ketika ditemui pemberita. – UTUSAN ONLINE










