JOHOR BAHRU 16 Sept. – Program Jualan Jimat Harapan Rakyat (JJHR) Malaysia akan diperluas ke seluruh negeri dalam usaha membantu meringankan beban kos sara hidup golongan berpendapatan rendah.

Presiden dan Ketua Pegawai Sekretariat Dewan Perniagaan JJHR Malaysia, Datuk Dr. Mohd. Noor Ali Akbar berkata, pihaknya menyasarkan golongan B40 atau berpendapatan bawah RM4,000 yang tinggal di kawasan bandar.
“Golongan ini merupakan komuniti miskin di bandar atau bandar raya dan pihak kami sudah mengenal pasti beberapa kawasan Parlimen yang sesuai untuk penganjuran program berkenaan.
“Kos hidup golongan ini tinggi contohnya terpaksa bayar tol, kos minyak petrol dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas program itu yang pertama kali dianjurkan di negeri ini di Taman Cempaka, Kempas di sini, semalam.
Lebih 800 pengunjung hadir ke program selama tiga hari itu yang berakhir hari ini yang menawarkan pelbagai barangan basah seperti ayam, daging, ikan dan sayur-sayuran dengan potongan harga 50 peratus berbanding harga pasaran.
Mohd. Noor Ali menjelaskan, kajian mendapati menerusi program itu, golongan B40 boleh berbelanja pada harga runtuh dan menjimatkan sehingga RM50 seminggu.
Sebagai contoh katanya, harga ayam hanya RM5.30 sekilogram berbanding harga biasa RM7.50 hingga RM8.50 sekilogram, ikan kembung RM5.30 sekilogram (berbanding hari biasa RM18 sekilogram) dan sayur seikat 50 sen (RM2 hingga RM2.50 harga biasa).











