PETALING JAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menambah bilangan petugas pilihan raya di kesemua 16 pusat mengundi bagi memastikan kelancaran proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dan Balakong esok.
Timbalan pengerusinya, Tan Sri Othman Mahmood berkata, penambahan jumlah petugas itu bertujuan mempercepatkan kerja pemprosesan Borang 13 dan 14 (borang kiraan dan penjumlahan undi).
“Kita menambah jumlah petugas untuk memperbaiki proses mengundi berdasarkan pengalaman di PRK Sungai Kandis yang lepas, dan semoga proses mengundi esok lebih lancar.
“Justeru, kita juga berharap akan mendapat keputusan PRK ini seawal pukul 9 malam dan selewat-lewatnya pukul 10 malam,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses semakan isi peti undi dan serahan peralatan kepada petugas pilihan raya di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, hari ini.
Menurut Othman, seramai 903 petugas pilihan raya terlibat dalam PRK DUN Seri Setia dan 1,001 petugas terlibat dalam PRK DUN Balakong. – Bernama










