KUALA LUMPUR 23 Sept. – Sama ada UMNO akan meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson atau memberi laluan mudah kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menang bakal diputuskan esok.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pergerakan Pemudanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn di sini hari ini.
Asyraf Wajdi memberitahu, mesyuarat biro politik akan diadakan esok bagi memutuskan mengenai perkara itu.
Walau bagaimanapun, menurut sumber, UMNO berkemungkinan tidak meletakkan calon mereka pada PRK berkenaan.
Beliau memberitahu, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat hari ini tetapi masih belum ada keputusan mengenainya.
Menurut sumber, terdapat petanda yang menunjukkan UMNO berkemungkinan tidak meletak calon bagi menentang Anwar dalam PRK tersebut.
Sekiranya benar UMNO tidak meletakkan calon, laluan Anwar untuk memenangi Parlimen itu lebih mudah, sekali gus merealisasikan hasratnya menjadi Perdana Menteri.
Pas sebelum ini pula menyatakan kesediaan parti itu memberi laluan kepada UMNO untuk bertanding di Port Dickson dan membantu dari aspek jentera pilihan raya.
Sementara itu, beliau menasihatkan ahli UMNO supaya tidak perlu gundah-gulana dengan perkembangan yang melibatkan parti itu sejak kebelakangan ini.
“Parti kita wakili suara Melayu Islam terbesar, jadi kita jangan rasa gundah-gulana kerana kekuatan kita adalah akar umbi.
“Akar umbi sedang menantikan mesej yang hendak kita sampaikan. Kita tidak perlu menagih belas ihsan daripada mana-mana pihak kerana yang paling penting kita kena jelaskan apa yang diinginkan,” katanya.
Menurut Asyraf Wajdi, mesyuarat hari ini menumpukan kepada persiapan Perhimpunan Agung UMNO hujung bulan ini dan hala tuju parti.
Beliau memberitahu, perkara berkaitan beberapa bekas Ahli Parlimen UMNO yang meninggalkan parti itu turut disentuh.











