PRK Port Dickson: Rakyat akan menilai - Utusan Malaysia

PRK Port Dickson: Rakyat akan menilai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 16 Sept. – Rakyat sendiri akan menilai sama ada tindakan mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson bagi membolehkan pilihan raya kecil (PRK) diadakan adalah satu keputusan yang betul atau sebaliknya.

Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, semua pihak boleh memberikan pendapat masing-masing tetapi akhirnya rakyat yang akan menentukan pilihan mereka sendiri.

Katanya, pendapat rakyat itu akan dapat dilihat dalam keputusan PRK itu kelak.

“Sebab itu, adalah sangat penting untuk kita mendapatkan pandangan atau pendapat rakyat sebelum kita membuat satu keputusan yang membabitkan mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Gerakan Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas PRK Port Dickson yang bakal diadakan berikutan tindakan penyandang kerusi itu, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi itu bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dan menjadi Ahli Parlimen.

Sehubungan itu, jelasnya, Gerakan akan mendapatkan pandangan daripada ahli parti itu di Port Dickson sebelum membuat keputusan untuk terlibat dalam PRK berkenaan.

Menurutnya, parti itu mempunyai 2,070 ahli yang mengundi bagi kawasan Parlimen tersebut.

“Kita perlu jumpa mereka dahulu sebelum membuat keputusan muktamad. Sehingga itu dilakukan, kita belum pasti sama ada untuk terlibat atau tidak,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN