JOHOR BAHRU 15 Sept. – Sekarang bukan masanya untuk mana-mana pihak dalam PKR mempertikai keputusan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson kerana keputusan sudah pun dibuat.
Pengarah Strategik PKR Pusat, Akmal Nasir berkata, apa yang perlu dilakukan ketika ini ialah bergerak bersama-sama dalam satu parti memberi sokongan padu kepada Anwar.
“Ini bagi memastikan kemenangan dapat diperoleh presiden kita,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Jelajah Jom Ronda JB Sempena Hari Malaysia di Pusat Khidmat Masyarakat PKR Cabang Johor Bahru di Jalan Kebun Teh, di sini sebentar tadi.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dalam satu portal berita yang mengatakan Port Dickson bukan merupakan kerusi selamat untuk Anwar bertanding.
Kelmarin, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan Anwar yang juga Presiden PKR yang baharu dipilih akan bertanding di PRK Parlimen Port Dickson.
Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, kenyataan Amirudin itu tidak relevan dan sekiranya Menteri Besar Selangor itu peka mengenai perkara tersebut, mengapa tidak menawarkan kerusi di negerinya sendiri.
“Pemilihan kerusi ini telah menjadi akademik, kalau benar beliau prihatin dengan kerusi mana lebih selamat, Selangor dah tawarkan dahulu kepada Anwar sebelum keputusan dibuat,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










