KUALA LUMPUR 23 Sept. – Bakal Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim disarankan untuk menunggu sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sekiranya berhasrat untuk kembali ke Parlimen.
Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, adalah lebih baik sekiranya peruntukan yang digunakan bagi melaksanakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson disumbangkan ke Tabung Harapan Malaysia.
“Terdahulu pada 21 Mei, Perdana Menteri telah dedahkan kedudukan kewangan negara yang tenat. Ekoran hutang negara mencecah RM1 trilion. Justeru itu, kerajaan Pakatan Harapan tubuhkan Tabung Harapan Malaysia pada 2 Jun untuk kutip derma dari rakyat.
“Alangkah baiknya jika anggaran peruntukan RM3.6 juta itu disalurkan ke Tabung Harapan dan PRK itu tidak perlu diadakan. Anwar boleh tunggu PRU-15 untuk merealisasikan impiannya menjadi Perdana Menteri kelapan. Orang gopoh selalu rugi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











