KUALA LUMPUR 9 Sept. – Meskipun tewas, namun Pas percaya keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia menunjukkan isyarat awal perubahan sokongan rakyat terhadap perjuangan parti itu.
![]() |
|
ABDUL HADI AWANG
|
Keyakinan tersebut disuarakan oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga percaya bahawa peratusan keluar mengundi rendah merupakan petanda undi protes terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Pas menghormati keputusan rakyat dalam PRK DUN Seri Setia dan mengucapkan terima kasih kepada para pengundi di atas kepercayaan yang diberikan.
“Pas komited untuk terus memperjuangkan nasib rakyat dan sedia menjadi pembangkang yang menasihat serta bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak demi mewujudkan keamanan dan kesejahteraan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang disiarkan menerusi portal Harakah Daily hari ini.
Semalam, calon Pas bagi PRK DUN Seri Setia, Dr. Halimah Ali tewas kepada calon PH, Halimey Abu Bakar dengan majoriti 4,027 undi.
Bagaimanapun, jumlah majoriti yang diperoleh Halimey itu jauh berbeza dengan majoriti diperoleh penyandang kerusi berkenaan, Allahyarham Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin iaitu 19,372 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
Abdul Hadi juga pada masa sama menzahirkan ucapan penghargaan kepada rakan-rakan parti pembangkang daripada UMNO dan MIC yang memberikan sokongan sepanjang tempoh pilihan raya kecil tersebut.
“Setinggi-tinggi penghargaan juga diucapkan kepada para petugas Pas, pasukan keselamatan, pengamal media serta semua pihak yang memberikan sokongan dan kerjasama dengan baik,” jelas beliau.











