PERMATANG PAUH 20 Sept. – Politik yang berasaskan kepada perkauman ‘sempit’ tidak lagi relevan untuk diguna pakai di negara ini dan akan pupus akhirnya.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, pemikiran masyarakat ketika ini lebih berkembang dan mereka lebih berani dalam mengutarakan pendapat serta pandangan masing-masing.
“Ya. Perkauman itu tetap ada sebab semua orang cintakan bangsa mereka sendiri.
“Bagaimanapun, (politik) perkauman sempit ini hingga menidakkan kaum yang lain tidak boleh diterima lagi ketika ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan beberapa pemimpin UMNO termasuk Datuk Seri Mustapa Mohamed meninggalkan parti itu sebelum ini sebagai tanda berkurangnya sokongan terhadap parti yang berasaskan satu kaum sahaja.
Mahfuz yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika hadir merasmikan persidangan Persatuan Kulim Industries di Hotel The Light, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











