KUALA TERENGGANU 15 Sept. – Pas akan terus mengambil pendekatan ‘politik damai’ dengan semua pihak termasuk musuh dan lawan bagi menambahkan ahli serta penyokongnya.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pendekatan itu juga menjadi rahsia ketahanan Pas yang tidak pernah diharamkan sejak penubuhannya, berbeza dengan pengalaman gerakan Islam di negara lain.
Beliau berkata, parti itu juga menolak pendekatan keras tanpa kebijaksanaan.
“Maka Pas tetap berterus terang bersama Islamnya dan tidak terikut dengan langkah pengecut yang malu menyebut Islamnya,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden yang bertemakan Islam Memimpin pada majlis perasmian Muktamad Tahunan Pas Ke-64 di sini hari ini.

Abdul Hadi berkata, Pas juga konsisten untuk memilih pendekatan ‘Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS)’ dengan semua pihak.
“Bersikap damai terhadap Kerajaan Persekutuan yang memegang tampuk pemerintahan negara.
“Kesediaan untuk menjalin kerjasama politik dengan semua pihak bagi memastikan Islam memimpin perubahan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










