HANOI 25 Sept. – Polis Vietnam berjaya menumpaskan rangkaian perjudian secara dalam talian bernilai hampir AS$26 juta (RM107.3 juta) berikutan penahanan 10 orang dan rampasan senjata api dan wang tunai dalam serbuan terbesar di negara ini.
Kejayaan itu juga menyaksikan kegagalan kerajaan membenteras kegiatan berkenaan meskipun mengenakan undang-undang yang ketat.
Ketua-ketua rangkaian perjudian itu mengendalikan banyak laman sesawang perjudian sukan dan perjudian lain yang menarik beratus-ratus kaki judi sejak Julai lalu, demikian menurut sumber polis tempatan dan media negara ini.
Rangkaian perjudian itu berleluasa di beberapa wilayah di bahagian tengah dan selatan Vietnam dan diketuai oleh seorang lelaki berusia 37 tahun dikenali sebagai Huynh Quoc Viet.
“Kami telah menahan tujuh orang dan tiga lagi menyerah diri. Siasatan masih berterusan untuk mengesan jika ada yang masih terlibat,’’ kata sumber itu kepada AFP dari wilayah Quang Nam.
Menurut laman sesawang rasmi polis wilayah Quang Nam, pihak polis menyerbu beberapa rumah di beberapa bandar selain merampas dua raifal, wang tunai AS$20,000 (RM82,610) dan beberapa kereta serta telefon bimbit .
Suspek juga dipercayai menawarkan pinjaman haram dengan kadar faedah yang tinggi selain mengutip hutang menggunakan kekerasan, laporan satu kenyataan media.
Kebanyakan perjudian di negara ini adalah diharamkan malah pihak yang mengendalikan perjudian secara dalam talian boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan hanya warga asing dibenarkan berjudi di kasino tempatan. – AFP











