KULAI 21 Sept. – Kegiatan kumpulan penjenayah warga asing yang aktif melakukan jenayah di beberapa daerah di negeri ini tumpas apabila dua daripadanya ditembak mati hari ini.
Dalam kejadian pukul 4.15 pagi itu, dua suspek berkenaan maut selepas berbalas tembakan dengan anggota polis di Bukit Batu, Jalan Sedenak, dekat sini.
Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, polis mengesan kereta Proton Waja dinaiki penjenayah terbabit menerusi Operasi Rantau Cegah Jenayah sebelum mengejar mereka bermula di Taman Manis di sini kira-kira 30 minit.
“Kedua-dua penjenayah tersebut tidak memberhentikan kenderaan sebaliknya melarikan diri sebelum melepaskan tembakan ke arah anggota polis.
“Bagi mempertahankan diri, polis bertindak membalas tembakan penjenayah tersebut sebelum kenderaan dinaiki mereka berlanggar dengan kenderaan polis lalu terbabas,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim dan Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow.
Mohd. Kamaruddin memberitahu, siasatan mendapati kedua-dua suspek mati dalam kenderaan mereka selepas terkena tembakan.
Jelas beliau, mereka sebelum ini aktif melakukan jenayah sejak enam bulan lalu terutama di sekitar daerah ini, Johor Bahru dan Pontian.
Siasatan mendapati kenderaan digunakan suspek merupakan kenderaan curi selain pihaknya turut menemukan sepucuk pistol, parang, sarung tangan dan topeng.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala mayat kedua-dua suspek dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru untuk dibedah siasat”, ujarnya.











