Polis rampas pil kuda bernilai RM23.64 juta - Utusan Malaysia

Polis rampas pil kuda bernilai RM23.64 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 23 Sept. – Polis melumpuhkan kegiatan pengedaran pil kuda terbesar di negeri ini selepas merampas sebanyak 1.182 juta biji pil kuda yang dianggarkan bernilai RM23.64 juta dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Banggol Setol, Pasir Mas, Khamis lalu.

Ketika serbuan pada pukul 1.15 pagi, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang dipercayai penjaga rumah yang dijadikan stor penyimpanan dadah tersebut.

Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, kejayaan itu adalah hasil maklumat orang awam yang disalurkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Pasir Mas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut beliau, polis terlebih dahulu menahan suspek yang bekerja sebagai pemandu lori di hadapan rumah ber­kenaan sebelum menemukan lima guni bertulisan Thai dalam sebuah bilik.

“Setiap satu guni mengan­dungi bungkusan kekuni­ngan berisi pil-pil disyaki pil kuda. Jumlah keseluruhan bungkusan adalah sebanyak 197, manakala pil yang terkandung di dalamnya dianggarkan berjumlah 1.182 juta biji.

“Pil-pil ini yang dijual de­ngan harga RM20 sebiji itu boleh dibekalkan kepada kira-kira sejuta penagih,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis kontinjen di sini hari ini.

Hasanuddin memberitahu, antara harta yang disita dalam serbuan terbabit ialah sebuah kereta Perodua Kancil dan sebuah televisyen.

Ujarnya, siasatan awal mendapati bekalan dadah yang diperoleh dari negara jiran adalah untuk diedarkan di sekitar Rantau Panjang serta Kota Bharu dan kegiatan jenayah tersebut dipercayai aktif sejak Ogos tahun lalu.

“Suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau manakala saringan air kencing ke atasnya didapati negatif. Dia direman selama seminggu mulai 20 September lalu.

“Polis masih meneruskan siasatan untuk mengesan dalang sebenar sindiket ini dan ahli-ahlinya yang lain,” katanya sambil memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini