TUMPAT – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3 Pengkalan Kubor merampas 41 kotak rokok seludup bernilai RM278,800 dan sebuah van dalam serbuan di Pengkalan Haram Badang, Sungai Golok di sini hari ini.
Kesemua rokok yang dirampas dalam serbuan pada pukul 10 pagi itu dipercayai diperoleh dari Selangor dan untuk diseludup ke negara jiran menggunakan bot menyeberangi Sungai Golok yang menjadi sempadan Malaysia dan Thailand di Kelantan.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah 3, Asisten Superintendan Mohd. Rudzuan Ahmad berkata, serbuan dilakukan selepas pasukannya mengadakan risikan awal di lokasi disyaki.
“Ketika serbuan terdapat empat lelaki sedang memunggah kotak dari sebuah van ke dalam bot enjin galah namun suspek terbabit melarikan diri dengan menaiki dua bot enjin galah ke negara jiran,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat PPM Wilayah 3 Pengkalan Kubor hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut terhadap van jenis Toyota Hiace itu menemui 41 kotak mengandungi 2,050 karton rokok seludup berkenaan.
Katanya, kes itu diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyeludupan supaya melaporkan kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan. – Bernama











