ISKANDAR PUTERI 23 Sept. – Polis negeri ini mengenal pasti lima suspek bagi membantu kes pembunuhan seorang ahli kongsi gelap berusia 34 tahun yang maut ditembak dalam kereta di hadapan kediamannya di Jalan Timah 9, Skudai, Khamis lalu.
Walau bagaimanapun, Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, setakat ini masih belum ada tangkapan dibuat berkaitan kes berkenaan.
“Siasatan yang dijalankan mengesahkan mangsa seorang ahli kongsi gelap dan dipercayai terlibat dalam kegiatan dadah dan perjudian.
“Usaha mengesan kelima-lima suspek sedang dijalankan dan kami mendapati kesemua mereka telah meninggalkan lokasi asal masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri di Balai Polis Gelang Patah, di sini sebentar tadi. – UTUSAN ONLINE











