TIMBUL kekeliruan apakah keperluan mendesak pengosongan kerusi Parlimen Port Dickson dilakukan, setelah pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mula mendapat rentak dan disenangi pelbagai pihak termasuk DAP.

Langkah Datuk Danyal Balagopal Abdullah melepaskan Parlimen tersebut bagi memberi laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggambarkan seolah-olah PKR dan Pakatan Harapan (PH) gopoh menjadikan negara ini dan institusi Parlimen seperti rumah sendiri.
Namun jika ditanya, adakah Anwar perlu berada dalam Parlimen secepat mungkin, barangkali jawapannya ya, bagi membolehkan beliau memanaskan badan sebelum mengetuai Kabinet.
Siapa lagi pemimpin utama PH yang benar-benar layak, berpengalaman dan berkemampuan menggalas tugas sebagai Perdana Menteri selepas Dr. Mahathir yang sudah berusia 93 tahun?
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mungkin mempunyai kaliber menjadi Perdana Menteri, namun lebih baik kemampuannya dinilai terlebih dahulu sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.
Ada yang mempertikaikan mengapa tidak Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sahaja memberikan laluan kepada suaminya untuk bertanding di kawasan beliau bagi mengelakkan berlaku nepotisme.
Tetapi pemerhati politik berpandangan, ini adalah untuk memastikan PKR terus memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan berisiko buat PKR seandainya tiada ahli parti itu menduduki jawatan nombor satu atau kedua tertinggi Kabinet pada satu masa.
Lebih mudah pengosongan kerusi dibuat oleh ahli Parlimen yang tidak menjejaskan urus tadbir kerajaan memandangkan Wan Azizah juga adalah Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga.
Anwar telah memberi jaminan bahawa isterinya akan meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas beliau diangkat menjadi Perdana Menteri.
Soal ketiadaan Danyal Balagopal akan menghilangkan suara pesara tentera dan polis dalam Dewan Rakyat kurang tepat kerana masih ada ahli Parlimen lain yang boleh memikul peranan sama kerana turut datang dari kawasan pengundi tentera atau polis yang ramai.
Danyal Balagopal yang berasal dari Perak juga sebelum ini dianggap sekadar calon bidan terjun bagi menggantikan Rosman Jonet yang sepatutnya dicalonkan oleh PKR untuk bertanding di kawasan pelancongan popular itu.
Pengundi dan penduduk Port Dickson juga tidak mengalami kerugian kerana calon daripada PH yang mahu dipilih nanti merupakan seorang bakal Perdana Menteri.
Cuma mungkin apa yang perlu diperbaiki adalah bagaimana PKR mengawal kesungguhan mereka untuk mempertahankan pengosongan kerusi Port Dickson, memandangkan beberapa jawapan yang diberikan nampak angkuh kononnya rakyat sentiasa menyokong tindak-tanduk mereka.
Apapun, ada baiknya Anwar yang lebih memenangi hati orang Melayu kembali ke Parlimen segera, melainkan ada calon lain dalam kalangan PH yang benar-benar layak menggantikan Dr. Mahathir.











