KUALA LUMPUR 16 Sept. – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mengambil beberapa langkah termasuk mencadangkan penggubalan akta baharu bagi memastikan hasil pertanian tempatan dan import, selamat serta dijamin berkualiti untuk rakyat.
Ketua Setiausahanya, Datuk Mohd. Sallehhuddin Hassan berkata, usaha itu selari komitmen kerajaan memperkemaskan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada khususnya dalam soal kuasa, peruntukan perundangan serta penguatkuasaan sekali gus meningkatkan perkhidmatan kementerian ke tahap lebih cekap.
Jelas beliau, antaranya, dalam waktu terdekat, pihaknya bersedia melakukan pemindahan kuasa pengeluaran Permit Import (IP) daripada Jabatan Pertanian kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Pemeriksaan Malaysia (Maqis).
“Inisiatif ini sedikit sebanyak berupaya memperketatkan lagi aktiviti penguatkuasaan khususnya dalam soal import.
“Maka apabila perpindahan dilakukan, kuasa akan dapat diselaraskan dengan baik, contohnya, Maqis akan mempunyai kuasa untuk menahan semua kontena yang diperiksa dan sekiranya sampel diambil gagal mereka boleh menolak barangan tersebut berbanding sekarang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohd. Sallehhuddin memaklumkan, kecekapan itu dapat membendung daripada kontena membawa hasil pertanian import yang gagal ujian Tahap Maksimum Residu (MRL) tidak terlepas ke pasaran.
“Malah jumlah denda dikenakan di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan yang dikawal oleh Maqis lebih tinggi berbanding Akta Makanan 1983,” ujarnya.
Dalam masa sama, kementerian juga akan mempergiatkan usaha supaya pengusaha pertanian tempatan mematuhi syarat keselamatan makanan melalui Amalan Pertanian Baik (MyGap).
“Aspek kos pengeluaran juga diberi perhatian serius supaya hasil tempatan berdaya saing di pasaran kerana negara masih tidak mampu mengeluarkan bekalan makanan yang mencukupi,” ujarnya.
Beliau menambah, pihak kementerian juga sudah meneliti dan mencadangkan tiga Rang Undang-undang (RUU) membabitkan RUU Baja, RUU Kualiti Benih Tanaman dan RUU Biosekuriti Tumbuhan.
“Proses ini akan dibawa ke Kabinet dan kemudian ke Jabatan Peguam Negara untuk semakan dan sekali lagi ke Kabinet sebelum disyorkan dibentang dalam Parlimen.
“Kita berhasrat dan jika dicadangkan pindaan itu dapat dibentangkan dalam Parlimen sesi pertama tahun hadapan,” jelasnya.











