KUALA LUMPUR 25 Sept. – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan mempertahankan bahasa Melayu malah bertekad untuk mempertingkatkan kedudukannya.
Presiden PKR itu berkata, perkara berkaitan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak boleh diubah kerana telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Namun begitu, jelasnya ini tidak bermakna penguasaan bahasa lain seperti Inggeris dan Mandarin diketepikan kerana ia merupakan bahasa ilmu serta ekonomi.
“Yakin insya-Allah kerajaan baru Pakatan Harapan akan tetap pertahankan (bahasa Melayu),” katanya ketika berucap dalam Syarahan Negarawan 2018 bertajuk Malaysia Baru Ke Arah Memperkukuh Negara Bangsa, di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Anwar menuntut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melakukan perubahan sesuai dengan situasi semasa supaya menjadi gedung ilmu dan budaya bukan sahaja kepada orang Melayu tetapi bangsa lain juga.
Jika tiada perubahan dilakukan, beliau bimbang DBP akan terus lesu dan dipandang sepi oleh segenap masyarakat.
“Saya rasa DBP perlu kembali kepada peranannya menjadi pusat budaya, bahasa yang segar lagi hebat,” katanya. – UTUSAN ONLINE










