WASHINGTON 26 Sept. – Dua pesakit yang terlibat dalam program pemulihan untuk orang lumpuh berjaya berjalan semula selepas menjalani proses stimulasi elektrik saraf tunjang, manakala dua lagi pesakit boleh berdiri dan duduk seperti biasa.
Hasil penyelidikan tersebut diterbitkan dalam Jurnal Perubatan New England kelmarin manakala Jurnal Nature Medicine melaporkan seorang pesakit lumpuh di Minnesota juga berjaya berjalan semula setelah melalui proses elektrod diimplan dalam saraf tunjangnya.
Pusat Kajian Kecederaan Saraf Tunjang Kentucky di Universiti Louisville pada 2014 melaporkan bahawa beberapa pesakit lumpuh sudah semakin pulih setelah menjalani proses stimulasi elektrik.
Laporan terbaharu pula menyatakan dua pesakit boleh berjalan menggunakan tongkat atau alat bantuan selepas menjalani proses stimulasi elektrik saraf tunjang.
Menurut ketua pengkaji, keempat-empat pesakit tersebut sebelum ini tidak boleh berjalan, duduk atau berdiri apabila stimulasi tersebut ditutup.
Pengarah pusat kajian tersebut, Susan Harkema pula memberitahu bahawa proses stimulasi itu boleh dikaitkan dengan fakta mengenai pesakit lumpuh masih boleh mengekalkan sensasi pergerakan di bawah tahap kecederaan mereka.
“Para saintis boleh mengembalikan fungsi saraf tunjang biarpun kecederaan yang dihidapi pesakit tidak berhubung dengan otak,” katanya.
Seorang daripada pesakit yang boleh berjalan, Kelly Thomas menyifatkan kejayaannya berjalan semula adalah momen yang paling indah dan mengharukan.
Dia kini tidak perlu lagi tinggal di pusat pemulihan dan dibenarkan pulang ke rumah. – AFP











