Pertelingkahan adalah normal ketika pemilihan PKR - Zuraida - Utusan Malaysia

Pertelingkahan adalah normal ketika pemilihan PKR – Zuraida

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 10 Sept. – Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin menyifatkan pertelingkahan termasuk serangan peribadi yang berlaku dalam tempoh pemilihan parti adalah proses normal bagi calon yang bertanding.

Beliau berkata, perkara sedemikian sudah dianggap biasa memandangkan sebelum ini pernah berlaku situasi yang lebih teruk dalam tempoh tersebut.

“Dalam semangat pertandingan ini macam-macam mereka akan lakukan pelbagai usaha untuk cuba lobi kelebihan. Biarkan mereka buat apa yang mereka rasa betul untuk menang dalam pemilihan kali ini.

“Kita biar ahli yang menilai sama ada mereka yang bercakap itu ada asas serta kredibiliti atau sekadar tin kosong terpulang kepada ahli untuk menilai dan memilih,” katanya dalam sidang akhbar ketika hadir lawatan kerja ke pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Alor Setar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Naib Presiden PKR, Tian Chua yang mendakwa tidak ada sesiapa dalam kalangan pimpinan parti yang mengetahui keputusan untuk mengosongkan kerusi Parlimen bagi memberi laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar seperti yang diumumkan calon Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengulas lanjut berkata, bagaimanapun, perkara tersebut tidak akan berlarutan malah akan berakhir selepas pemilihan parti selesai.

“Tidak mengapa, setelah habis pemilihan semua akan selesai dengan cantik kepimpinan baharu nanti kita akan atur dan susun balik untuk mendapat keyakinan rakyat,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN