KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dijangka membangkitkan isu tarif Amerika Syarikat (AS)-China pada sesi ke-73 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNGA), kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking.
Katanya, tarif AS terhadap US$200 bilion import China yang berkuatkuasa hari ini, adalah satu masalah ekonomi yang besar.
“Tun Dr Mahathir besar kemungkinan akan membincangkan isu ini pada perhimpunan agung itu dan sebagai seorang yang bijak, kami yakin beliau akan mengemukakan beberapa nasihat kepada kedua-dua negara.
“AS dan China perlu menyelesaikan masalah berkenaan kerana ia akan memberi kesan kepada banyak negara. Ramai yang berkata bahawa rantaian bekalan berkenaan berpotensi berpindah ke Malaysia,” katanya pada sidang media selepas melancarkan program “Made by Malaysia, Loved by the World” di sini, hari ini.
Dr Mahathir akan tiba di New York pada Selasa bagi mengetuai delegasi Malaysia ke perhimpunan agung berkenaan yang bermula Selasa.
Sementara itu, mengenai program itu, ia dilancarkan bersama oleh Perbandanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Facebook dan platform perdagangan sosial AVANA yang disasarkan untuk membantu kira-kira 2,000 usahawan pemilik perniagaan di seluruh negara mengeksport produk mereka.
Kerjasama awam-swasta itu akan membantu usahawan memperoleh kemahiran pemasaran yang diperlukan mereka untuk mencapai pelanggan global melalui Facebook.
Fasilitasi berkenaan temasuk program latihan oleh Facebook dan AVANA di Kota Kinabalu, Kuching, Kuala Lumpur, George Town, Johor Bahru, Alor Setar dan Kota Bharu, sementara MATRADE menawarkan bantuan kewangan RM5,000 yang akan digunakan untuk program “Made by Malaysia, Loved by the World”.
Malaysia adalah negara ketiga melancarkan program berkenaan untuk Facebook, selepas kejayaannya di Korea Selatan dan Taiwan. – BERNAMA







